RUBIALES memeluk pemain Sepanyol ketika majlis penyampaian pingat di Sydney.
RUBIALES memeluk pemain Sepanyol ketika majlis penyampaian pingat di Sydney.
Reuters

Madrid: Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol dikritik menteri kerajaan selepas mencium bibir pemain Jenni Hermoso ketika meraikan kejayaan menjuarai Piala Dunia Wanita semalam.

Jenni kedengaran berkata kepada rakan sepasukan di bilik persalinan 'dia tidak menyukainya' dalam video di Instagram dan You Tube yang disiarkan akhbar El Mundo dan beberapa media lain.

Insiden berlaku ketika presiden badan bola sepak Sepanyol Luis Rubiales menyampaikan pingat emas kepada pasukan selepas kemenangan 1-0 ke atas England semalam.

Walaupun Rubiales menyatakan ciuman itu hanya spontan bagi meraikan kemenangan bersejarah, beberapa menteri dan sebahagian daripada media kurang senang dengan tindakannya.

Pemangku Menteri Sukan dan Kebudayaan Miquel Iceta berkatadi Radio RNE hari ini ciuman itu tidak boleh diterima dan menggesa Rubiales memberikan penjelasan dan meminta maaf.

"Ciuman tanpa rela dianggap antara keganasan sex dihadapi semua wanita hampir setiap hari yang kita tidak boleh biasakan," kata seorang lagi menteri Irene Montero.

Pemangku Menteri Hak Asasi Ione Belarra yang menjadi ahli parti Montero pula bertanyakan "jika mereka melakukannya dengan disaksikan seluruh rakyat Sepanyol, adakah mereka akan melakukannya secara senyap-senyap?"

Ruangan kolum di akhbar utama Sepanyol El Pais menyiarkan tajuk: "Jenni tidak menyukai ciuman itu dan begitu juga kami" - menganggapnya sebagai pencerobohan privasi dan agresif".

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 7:18 PM