TIERNEY (tengah) menjaringkan dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian untuk menewaskan Indonesia, 2-1, malam ini. FOTO FB PFAM
TIERNEY (tengah) menjaringkan dua gol selepas masuk sebagai pemain gantian untuk menewaskan Indonesia, 2-1, malam ini. FOTO FB PFAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemasukan penyerang gantian, Fergus Tierney di babak kedua membawa impak besar buat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara apabila dua jaringannya memastikan kemenangan 2-1 ke atas Indonesia dalam aksi pertama Kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 di Stadium Rayong di Thailand, malam ini.

Kemenangan itu cukup bermakna bagi membolehkan skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan apabila anak buah E Elavarasan itu disasarkan untuk mara ke pentas final.

Begitupun kejayaan mengutip tiga mata ke atas pemenang pingat emas Sukan Sea di Kemboja, Mei lalu itu bukan mudah, apabila pasukan negara terpaksa bangkit selepas ketinggalan satu gol di babak pertama.

Gol pertama lawan diraih menerusi Muhammad Ramadhan Sananta di minit ke-29.

Malaysia memperkemaskan aksi di separuh masa kedua dengan Elavarasan membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Tierney.

Langkah berkenaan nyata berhasil dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu meledak gol pertama menerusi sepakan penalti selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tierney tenang menyepak masuk bola di minit ke-54 buat mengikat kedudukan 1-1.

Skuad negara terus menekan kubu Indonesia dan gol kedua tercipta apabila larian M Rakesh di sebelah tepi membuka ruang buat Tierney yang menolak masuk untuk menewaskan penjaga gol lawan, Ernando Ari Sutaryadi.

Indonesia cuba bangkit, namun pertahanan negara tenang menangkis segala serangan lawan.

Selepas ini, Malaysia dijadual menentang Timor Leste dalam aksi kedua di venue sama, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 11:07 PM