BEN Chilwell menewaskan Alex McCarthy untuk gol ketiga Chelsea. -FOTO AFP
BEN Chilwell menewaskan Alex McCarthy untuk gol ketiga Chelsea. -FOTO AFP
AFP

London: Chelsea bangkit daripada minggu menyakitkan dengan kemenangan 3-1 ke atas Southamton yang menyaksikan Timo Werner dan Ben Chilwell meledakkan gol lewat perlawanan.

Tiga mata berharga itu melonjakkan kedudukan Chelsea sebagai pendahulu Liga Perdana dengan 16 mata, dua mata mengatasi Liverpool, Manchester United, Everton dan Brighton.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan Liga tahun ini sebelum itu tewas kepada Manchester City minggu lalu dan Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

Namun mereka kembali melakar kemenangan di London yang dibantu dengan kad merah yang dilayangkan kepada pemain tengah Southampton, James Ward-Prowse.

Trevoh Chalobah meletakkan Chelsea di depan tetapi Ward-Prowse menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti di awal babak kedua sebelum dia dibuang padang pada minit ke-77 kerana terjahan kasar ke atas Jorginho.

Werner kembali meletakkan Chelsea di depan dengan menolak masuk hantaran lintang Cesar Azpilicueta sebelum Chilwell melengkapkan kemenangan pada minit ke-89.

"Selepas dua kekalahan, kami perlu berhati-hati agar kami tidak mula berasa sedih atau terlalu bimbang kerana masih ada peluang untuk memperoleh 16 mata," kata Tuchel.

"Penting untuk mempunyai prestasi lebih baik dari dua perlawanan terakhir dengan kami perlu mempertajamkan pemikiran sehingga kami tidak takut kalah.

"Ia satu yang bagus dapat bermain dengan cara itu dan kami layak menang."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 8:42 AM