RONALDO (kiri) memberi kali mengancam kubu PSG. FOTO AFP
RONALDO (kiri) memberi kali mengancam kubu PSG. FOTO AFP
AFP

Osaka: Jelajah Jepun Paris Saint Germain (PSG) bermula dengan kurang memberangsangkan ketika mereka hanya seri 0-0 ketika berdepan kelab Cristiano Ronaldo, Al Nassr di Osaka.

Peminat Jepun berpusu-pusu ke stadium untuk melihat Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar beraksi dalam beberapa siri perlawanan persahabatan untuk PSG tahun lalu, tetapi tiada satu pun daripada trio itu muncul kali ini.

Messi menyertai kelab Major League Soccer, Inter Miami dan Neymar bergelut kecederaan lutut sejak Februari dan baru sahaja kembali menjalani latihan penuh.

Mbappe secara sensasi diketepikan daripada skuad pada malam sebelum pemergian PSG ke Asia, dengan masa depannya di kelab itu diragui.

Carlos Soler mengambil sepakan percuma pada minit kedua di Osaka, tetapi penjaga gol Al Nassr, Nawaf Alaqidi berjaya menyelamatkan percubaan itu.

Noha Lemina berjaya menceroboh masuk kubu lawan 20 minit kemudian tetapi melihat percubaannya melencong keluar.

Reaksi terbesar daripada penonton yang agak sederhana kehadirannya iaitu 25,432 orang pada separuh masa pertama tertumpu kepada beberapa usaha Ronaldo.

Percubaan pertamanya dari jarak lima meter berjaya diselamatkan Gianluigi Donnarumma sebelum sepakan akrobatik tersasar dari sasaran walaupun masuk ia tidak akan dikira kerana ofsaid.

Separuh masa kedua menyaksikan beberapa pertukaran oleh kedua-dua pasukan, dengan Ronaldo dikeluarkan selepas 66 minit.

Kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan, walaupun pemain muda PSG, Ilyes Housni kelihatan meyakinkan selepas dimasukkan dan hampir beberapa kali mampu memecahkan kebuntuan.

PSG seterusnya akan menentang Cerezo Osaka Jumaat ini, sebelum ke Tokyo untuk bertemu Inter Milan.

Al Nassr akan berdepan Inter di Osaka Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 10:04 PM