NEYMAR (kanan) meraikan jaringannya bersama Messi. FOTO AFP
NEYMAR (kanan) meraikan jaringannya bersama Messi. FOTO AFP
AFP

Osaka: Jurulatih baharu Paris Saint-Germain (PSG), Christophe Galtier berkata pasukannya melepaskan 'dua gol' yang dianggap terlalu banyak walaupun Lionel Messi dan Neymar cemerlang bekerjasama ketika membelasah Gamba Osaka 6-2, semalam.

Neymar meledak dua gol dan Messi menjaringkan satu gol di Osaka ketika PSG melengkapkan aksi pramusim mereka di Jepun dengan kemenangan ketiga.

Juara Perancis itu kini akan menuju ke Israel untuk menentang Nantes dalam saingan Piala Super Perancis di Tel Aviv pada 31 Julai.

Galtier, yang mengendalikan pasukan buat kali pertama sejak menyertai PSG dari Nice berkata, beraksi menentang pasukan J-League memaksa pemainnya untuk meningkatkan tahap fizikal mereka.

"Kami banyak berlatih dan kemudian beraksi dengan sedikit masa untuk proses pemulihan.

"Tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan perlawanan terakhir ini serta kesemua tiga perlawanan yang kami hadapi di Jepun," katanya selepas perlawanan ketiga PSG dalam tempoh enam hari.

Neymar dan Messi kedua-duanya beraksi selama 70 minit ketika menentang Gamba dengan Neymar menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama sebelum membantu Messi meledak gol.

Messi kemudian membantu Neymar meledak gol pada separuh masa kedua untuk pemain Brazil itu menjaringkan gol keduanya pada perlawanan itu.

Kylian Mbappe turut menyumbang gol selepas menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan sebaik beraksi pada 30 minit terakhir.

Pablo Sarabia dan Nuno Mendes turut menjaringkan gol untuk PSG tetapi Galtier bimbang dengan cara pasukannya dibolosi dua gol.

"Masih banyak kerja perlu dilakukan kerana kami melepaskan dua gol, iaitu terlalu banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 7:24 AM