PENYERANG import Pahang Rangers, Sergio Jamur (kanan) cuba melepasi tiga pertahanan Shah Alam City. -FOTO Mohd Rafi Mamat
PENYERANG import Pahang Rangers, Sergio Jamur (kanan) cuba melepasi tiga pertahanan Shah Alam City. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pahang Rangers FC mencatat keputusan cemerlang pada saingan suku akhir pertama Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 selepas menewaskan Shah Alam City 6-1 di Stadium Tertutup SUKPA, di sini semalam.

Pesta gol skuad bimbingan Gerard Casas itu bermula seawal minit ke 10 menerusi jaringan penyerang import, Amin Nasrollah Zadeh yang melakukan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Mohamad Aizat Borhanudin.

Pada minit ke 15, Amin yang musim pertama bersama pasukan pantai timur itu, sekali lagi meledak jaringan selepas bijak memperdayakan dua pemain Shah Alam City untuk meletakkan tuan rumah semakin selesa di hadapan mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung aksi di babak kedua, Pahang Rangers terus mengganas apabila mereka menambah empat jaringan dalam tempoh 10 minit, masing-masing menerusi Akmarulnizam Idris dan Sergio Jamur pada minit ke 28 serta Farhan Khairul Anuar pada minit ke 30 dan 37.

Shah Alam City sempat meraih gol saguhati pada minit ke 32 menerusi Zainal Abidin Hamzah yang mudah menewaskan penjaga gol tuan rumah, Zainulzahin Sinuan.

Bagi Casas, kemenangan besar (6-1) ke atas Shah Alam City adalah kejayaan yang begitu bermakna hasil kesungguhan dan semangat berpasukan tinggi dipamerkan barisan pemain.

"Perjuangan suku akhir masih belum selesai kerana pertemuan kedua akan diadakan pada 15 Julai depan di Stadium Panasonic, Shah Alam. Saya telah mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 1:27 PM