GERRARD (kanan) bersama Presiden Al-Ettifaq, Khaled al-Debel selepas dilantik sebagai ketua jurulatih kelab itu. FOTO AFP
GERRARD (kanan) bersama Presiden Al-Ettifaq, Khaled al-Debel selepas dilantik sebagai ketua jurulatih kelab itu. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard muncul nama besar terbaru ke Arab Saudi apabila menjadi ketua jurulatih Al-Ettifaq.

Pengendali berusia 43 tahun itu tiada jawatan selepas dipecat Aston Villa pada Oktober lalu.

Sebelum ini, Gerrard berkata, dia menolak tawaran menyertai kelab di negara Teluk, tetapi kini terpikat dengan kekayaan yang ditawarkan.

"Tempat legenda ditemui. Kami teruja untuk mengumumkan Steven Gerrard sebagai ketua jurulatih baharu kami," umum kelab itu di Twitter.

Al-Ettifaq menamatkan kempen Liga Pro Saudi musim lalu di tempat ketujuh daripada 16 kelab.

Dilimpahi kemewahan, liga itu memikat banyak nama besar daripada liga Eropah dengan gaji lumayan.

Pemain skuad Piala Dunia Croatia, Marcelo Brozovic turut ke Arab Saudi untuk menyertai kelab Al Nassr, semalam.

Pemain tengah berusia 30 tahun itu menjadi kapten Inter Milan yang tewas di tangan Manchester City di final Liga Juara-Juara Eropah (UCL), bulan lalu dan bermain 87 kali untuk Croatia.

Perpindahan Cristiano Ronaldo ke Al Nassr pada Januari lalu memulakan trend perpindahan berkenaan.

Baru-baru ini, bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema dan pemenang Piala Dunia bersama Perancis, N'Golo Kante dari Chelsea menyertai Al-Ittihad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 9:29 AM