KEMAMPUAN Gerrard membawa Rangers menjuarai Liga Perdana Scotland menarik minat Al Ettifaq.
KEMAMPUAN Gerrard membawa Rangers menjuarai Liga Perdana Scotland menarik minat Al Ettifaq.
Agensi

London: Steven Gerrard berkata perasaan kekeluargaan di Al Ettifaq antara faktor yang menyebabkan dia menerima tawaran jurulatih bersama kelab itu.

Bekas kapten England dan Liverpool terbabit menandatangani kontrak tiga tahun minggu lalu walaupun sebelum itu dia berkata tidak akan berpindah ke negara Teluk.

Pengendali berusia 43 tahun itu kemudiannya bertukar fikiran sekali gus menjadi nama besar terbaru menyertai Liga Pro Saudi.

"Apabila saya pergi ke Arab Saudi, saya benar-benar dapat berasakan semangat kekeluargaan, ia menjadikan saya dihargai dan dialu-alukan," kata Gerrard di akaun Twitter Al Ettifaq semalam.

"Terdapat beberapa perkara saya selalu pertimbangkan -- ia perlu sesuai dengan keluarga saya, itu paling utama. Kami perlu gembira dan dimotivasikan oleh cabaran.

"Kedua, saya fikir projek bola sepak perlu mempunyai visi dan matlamat jelas dan kemudiannya sudah tentu rasa selamat dengan kontrak tetapi ia hanya di pengakhiran."

Kedatangan Gerrard adalah yang terbaru susulan perpindahan beberapa pemain ternama sejak Al Nassr menandatangani Cristiano Ronaldo pada Disember manakala bekas penyerang Real Madrid Karim Benzema menyertai Al Ittihad pada Jun.

Gerrard mengikut jejak bekas rakan sepasukan Robbie Fowler yang dilantik jurulatih kelab divisyen dua Al Qadsiah pada Khamis.

Gerrard membawa Rangers menjuarai gelaran pertama Liga Perdana Scotland dalam tempoh 10 tahun pada 2021 sebelum berpindah ke Aston Villa namun dipecat pada Oktober.

Al Ettifaq menduduki tangga ketujuh dalam Liga Pro Saudi musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 10:16 PM