KIM Min Kyu (kiri) dan Kim Deok perkasa bahagian sayap dan pertahanan KUFC. FOTO KUFC
KIM Min Kyu (kiri) dan Kim Deok perkasa bahagian sayap dan pertahanan KUFC. FOTO KUFC
Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) menandatangani dua pemain muda dari Korea Selatan pada perpindahan jendela kedua musim ini.

Kim Min Kyu, 22, dan Kim Deok, 21, akan memperkuat bahagian sayap dan pertahanan KUFC.

Pengarah Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, kehadiran dua import itu akan menjadi nilai tambah yang cukup baik untuk pasukan memperbaiki kedudukan dalam baki saingan Liga Malaysia musim 2023.

Min Kyu berupaya beraksi di posisi sayap kiri dan kanan, dibawa masuk dari Kelab Liga K4 Korea Selatan, Pyeongtaek Citizen FC.

Manakala, Kim Deok di posisi pertahanan pula adalah bekas pemain Kelab Thai League 3, Saraburi United FC.

KUFC dilihat berbelanja besar pada jendela perpindahan kedua, bulan ini selepas turut menyambar bekas import Kelantan FC, Ismaheel Akinade dan penjaga gol Kedah FC, Shahril Sa'ari.

Pasukan Kijang Hijau kini menduduki tangga kedua tercorot dengan 11 kekalahan, tiga seri dan hanya satu kemenangan dalam 15 perlawanan yang sudah berlangsung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 6:21 PM