AKINADE (dua kiri) dan Shahril (dua kanan) pada majlis menandatangani kontrak bersama Kelantan United hari ini. - FB Kelantan United
AKINADE (dua kiri) dan Shahril (dua kanan) pada majlis menandatangani kontrak bersama Kelantan United hari ini. - FB Kelantan United
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) menyambar import 'abang' senegeri apabila mengikat Ismaheel Akinade sempena jendela perpindahan kedua, musim ini.

Akinade, 29, sebelum ini beraksi bersama Kelantan FC dengan mengumpul empat gol sepanjang saingan Liga Super.

Penyerang kelahiran Nigeria itu menamatkan kontrak bersama The Red Warriors (TRW) atas persetujuan bersama dan seterusnya menyertai pasukan kijang hijau.

Pengarah Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, Akinade dipilih menyarung jersi pasukan pada perpindahan kedua bermula 5 Julai ini.

"Kami berharap Akinade dapat menyesuaikan diri dengan segera bersama pemain sedia ada dan membantu kelab dalam saingan pusingan kedua liga," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

KUFC optimis bekas penyerang beberapa kelab di Liga Ireland, Vietnam dan Bangladesh itu mampu mengekalkan persembahan terbaik dan menjadi senjata baru pasukan.

Selain Akinade, KUFC turut mengukuhkan gawang apabila merekrut penjaga gol berpengalaman, Shahril Saa'ri.

Shahril, 33, yang juga produk Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Harimau Muda pernah beraksi bersama pasukan Terengganu, Sabah, Sarawak, PKNS, PDRM dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 8:42 PM