KEDUDUKAN undian Kejuaraan B-23 AFF. FOTO FAM
KEDUDUKAN undian Kejuaraan B-23 AFF. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Seteru utama rantau ini, Indonesia yang juga pemenang pingat emas di temasya Sukan Sea Kemboja bakal menjadi pencabar terkuat skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di saingan Kejuaraan B-23 AFF di Thailand, Ogos depan.

Ia selepas Malaysia dan Indonesia diundi dalam Kumpulan B dengan Timor Leste melengkapkan saingan itu.

Untuk rekod, ini kali ketiga berturut-turut kedua-dua pasukan berentap seawal peringkat kumpulan selepas diundi dalam kumpulan sama bagi edisi 2019 dan 2022.

Pada edisi lalu yang berlangsung di Kemboja menyaksikan skuad negara terkandas di seawal peringkat kumpulan.

Malaysia merekodkan aksi cukup hambar pada edisi itu apabila tumbang dua kali kepada Laos dengan 2-1 dan 2-0 yang dijalankan secara 'round robin' dalam kumpulan B selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri ekoran pandemik Covid-19.

Pada edisi itu, Vietnam muncul juara pertama saingan AFF B-23 selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi final di Stadium Prince.

Sebagai rekod, ini penganjuran edisi keempat dengan edisi pertama pada 2005 dimenangi Thailand sebelum saingan itu dihentikan sehingga 2011 dengan tuan rumah adalah Indonesia namun dibatalkan.

Ia dilangsungkan semula pada 2019 di Kemboja yang menyaksikan Indonesia muncul juara selepas menewaskan Thailand 2-1 dan edisi ketiga pada 2022 berlangsung di Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 6:29 PM