CHENG Hoe berkata kumpulan kali ini dianggap liat dan bukan mudah. FOTO Ihsan Persatuan Bola sepak Malaysia
CHENG Hoe berkata kumpulan kali ini dianggap liat dan bukan mudah. FOTO Ihsan Persatuan Bola sepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan B Piala AFF perlu lebih berwaspada meskipun berjaya mengelak daripada diundi dalam 'kumpulan maut' bagi saingan menggunakan format baharu bermula Disember ini.

Selepas selesai majlis undian kejohanan edisi ke-13 yang dilakukan secara maya di Singapura itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe diundi bersama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan B.

Ia seperti perlawanan ulangan peringkat kumpulan tiga tahun lalu apabila Harimau Malaya ketika itu bertemu tiga pasukan terbabit kecuali Indonesia bagi saingan awal.

Vietnam pastinya bakal menjadi halangan terbesar buat anak didik Cheng Hoe apabila rekod pertemuan sejak tiga tahun lalu menyaksikan skuad negara gagal meraih keputusan positif apabila tewas empat kali dalam lima pertemuan terakhir dengan kekalahan terbaru pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu pada Jun lalu.

Begitupun, keputusan ke atas tiga lagi pencabar lain dilihat agak baik apabila Malaysia melakar kemenangan ke atas Indonesia, Kemboja dan Laos sejak 2018 namun itu tidak bermakna skuad negara boleh berpeluk tubuh di mana kejutan kemungkinan boleh berlaku dalam kempen Piala AFF itu.

Malah, peringatan itu turut diluahkan Cheng Hoe apabila mengingatkan anak didiknya agar tidak memandang mudah keupayaan lawan terutama tiga pasukan selain Vietnam itu.

Kata jurulatih yang berasal dari Kedah itu, kumpulan kali ini dianggap liat dan bukan mudah.

"Vietnam kita tahu mereka akan jadi pasukan pilihan ke peringkat separuh akhir. Manakala Indonesia pula, bukan lagi pasukan yang sama kita jumpa dalam kelayakan Piala Dunia lalu di mana mereka sudah bertukar jurulatih dan membawa ramai muka baru dan pemain muda.

"Kemboja pula bagi saya pasukan yang bermain bermati-mati dan cukup kuat di jiwa mereka dan serius dalam perlawanan…keadaan itu pasti beri kesukaran buat lawan.

"Untuk Laos, kita pernah menang tapi gol-gol yang kita raih selalunya di hujung permainan dan ia beri tentangan sengit kepada kita. Saya kira kumpulan ini amat liat dan kita kena bersedia serta fokus untuk buat persiapan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Berbanding Kumpulan B, saingan Kumpulan A dijangka lebih sengit dengan pertembungan juara lima kali, Thailand dan pemenang empat kali, Singapura selain Filipina, Myanmar dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.

Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal ketika Harimau Malaya merangkul gelaran pertama 2010 berkata, pemainnya perlu lebih bersedia untuk bersaing dalam format baru itu.

"Dulu kita main home dan away dalam peringkat kumpulan di mana dua perlawanan di tempat sendiri dan dua di tempat lawan.

Kali ini saya difahamkan kita akan main secara karnival di satu tempat saja (satu tuan rumah) dan pemain kena bersedia," katanya.

Bagi saingan kali ini, kejohanan bola sepak terbesar di rantau ini akan bermula dari 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Untuk rekod, Malaysia adalah naib juara pada edisi 2018 selepas tewas kepada Vietnam dengan 3-2 secara agregat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 4:37 PM