GUARDIOLA (kanan) berjaya membimbing pasukannya meraih gelaran EPL kelima daripada enam musim. FOTO AFP
GUARDIOLA (kanan) berjaya membimbing pasukannya meraih gelaran EPL kelima daripada enam musim. FOTO AFP
Agensi

London: Gary Neville memuji Pep Guardiola dan mendakwa dia layak menyertai Sir Alex Ferguson sebagai satu-satunya pengurus yang membimbing kelab England meraih kejuaraan treble.

Selepas Arsenal tewas 0-1 kepada Nottingham Forest, Man City dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memberikan trofi pertama musim ini kepada skuad bimbingan Guardiola.

City bangkit pada separuh musim kedua liga apabila memenangi 11 perlawanan berturut-turut serta menjaringkan 32 gol untuk mengatasi skuad bimbingan Mikel Arteta sekali gus mengesahkan kejuaraan liga ketika berbaki tiga perlawanan lagi.

City juga akan beraksi di final Liga Juara-Juara menentang Inter Milan selepas membelasah Real Madrid 5-1 di separuh akhir dan mereka juga bakal berdepan musuh ketat, Manchester United dalam perlawanan akhir Piala FA.

Ini bermakna mereka hanya tinggal dua perlawanan lagi untuk mengesahkan gelaran treble, pencapaian yang hanya dicapai sekali sebelum ini oleh kelab Inggeris iaitu United di bawah bimbingan Ferguson pada musim 1998-99.

Neville yang menjadi sebahagian kejayaan itu memuji Guardiola kerana berpotensi menyamai rekod Ferguson, sambil menegaskan bahawa City adalah pasukan yang istimewa.

"Adakah saya mahu City memenangi treble? Tidak! Tiada siapa yang mahu City memenangi treble jika anda penyokong Manchester United.

"Tetapi jika mereka menewaskan Manchester United (final Piala FA) dan Inter Milan (final Liga Juara-Juara), anda hanya perlu mengangkat tangan dan berkata, 'pengurus dan kumpulan pemain mencapai sesuatu yang unik'.

"Sir Alex Ferguson berhak menjadi satu-satunya pengurus dalam sejarah yang pernah meraih treble tetapi jika Pep Guardiola dapat melakukannya, dia berjaya menyamai apa yang dicapai Sir Alex Ferguson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 8:42 PM