CHENG Hoe tampil memberi semangat agar mereka segera melupakan kekalahan di Kemboja. FOTO AIZUDDIN SAAD
CHENG Hoe tampil memberi semangat agar mereka segera melupakan kekalahan di Kemboja. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kegagalan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara di Sukan Sea Kemboja baru-baru ini sedikit mengganggu fokus pemain muda Selangor FC yang bersama pasukan kebangsaan itu sebelum ini.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, motivasi enam pemain Red Giants agak terganggu selepas gagal membantu skuad B-22 negara di temasya dwitahunan itu.

Jelasnya, beliau bersama barisan kejurulatihan Selangor serta dibantu beberapa pemain senior tampil memberi semangat agar mereka segera melupakan kekalahan di Kemboja, sekali gus tampil lebih bermotivasi dalam kempen Liga Malaysia bersama kelab itu.

Hasil usaha bersama itu, menyaksikan kebangkitan dramatik Mukhairi Ajmal Mahadi yang berjaya meledak satu gol ketika membantu Selangor membenam Perak FC dengan keputusan 4-0 di Ipoh, Sabtu lalu.

"Seperti pemain yang baru pulang daripada Sukan Sea, mereka perlu dapat keyakinan semula dan daripada segi mental dan psikologi mereka perlu bersedia.

"Kalau kita lihat pencapaian dalam Sukan Sea, ia kurang memberangsangkan dan sedikit sebanyak menjejaskan psikologi mereka.

"Kami barisan kejurulatihan dan pemain senior sentiasa memberikan kata-kata positif kepada pemain muda berkenaan untuk pulihkan keyakinan mereka," katanya.

Enam pemain Selangor yang memperkuatkan pasukan kendalian E Elavarasan di Sukan Sea adalah Zikri Khalili, Harith Haiqal Adam Afqar, Syahir Bashah, Aliff Izwan Yuslan, V Ruventhiran dan Mukhairi.

Di Kemboja itu, pasukan negara 'terciduk' awal apabila gagal melepasi peringkat kumpulan selepas sekadar menghuni tangga ketiga di belakang Thailand dan Vietnam.

Malah ia juga gagal memenuhi sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mahu pasukan negara layak ke pentas final, sekali gus meneruskan badi pingat emas selepas kali terakhir memenanginya pada temasya 2011 di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 3:49 PM