SKUAD bola sepak Sukan Sea ke Kemboja. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SKUAD bola sepak Sukan Sea ke Kemboja. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Arkitek tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi tidak mempunyai masalah membentuk persefahaman bersama rakan lain dalam skuad bawah 22 (B-22) tahun negara meskipun baharu menyertai pasukan itu tiga hari lalu.

Dia yang disenaraikan pengendali pasukan E Elavarasan, bakal menjadi nadi utama pasukan menjelang saingan Sukan Sea di Kemboja, Rabu ini.

Untuk rekod, pada bulan lalu Mukhairi tidak bersama skuad B-22 yang muncul juara Piala Merlion di Singapura.

"Ramai pemain dalam skuad ini yang saya pernah bermain bersama, jadi dari segi keserasian itu saya rasa tiada banyak benda yang saya tertinggal.

"Sebelum ini pun saya main dengan pasukan senior dan taktikal yang diterapkan adalah sama jadi tiada masalah bagi saya," katanya pada sesi latihan pasukan di Wisma FAM, di Kelana Jaya, hari ini.

Jelas Mukhairi lagi, dia mahu memastikan penampilan keduanya di temasya dwitahunan itu selepas turut beraksi pada edisi lalu di Vietnam berakhir dengan kilauan pingat emas.

Pada kempen sebelum ini, Mukhairi terpaksa menggigit jari apabila gagal di separuh akhir selepas tumbang di tangan Vietnam.

Dia dan rakan sepasukan terus kempunan pada penentuan pingat gangsa apabila tewas kepada Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 7:49 PM