PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. -FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. -FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Di sebalik kemenangan 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Darul Makmur semalam, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad masih belum berpuas hati dengan pencapaian itu.

Lebih-lebih lagi, skuad Tok Gajah masih belum dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik disebabkan faktor kecederaan dan penggantungan.

Kelemahan ketara ialah di bahagian tengah yang menyaksikan Sri Pahang gagal memberi tekanan kepada lawan.

Mengulas situasi itu, Fandi berkata, kemenangan 1-0 ke atas Penang tidak mencerminkan bahawa skuad itu berada pada prestasi terbaik.

"Saya boleh katakan bahawa kurang puas hati walaupun pasukan berjaya mengutip tiga mata di halaman sendiri dalam mengekalkan kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super.

"Tetapi saya puji dengan semangat juang tinggi yang dipersembahkan pemain untuk memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan," katanya.

Lagenda bola sepak Singapura itu turut berpuas hati dengan komitmen tinggi yang dipersembahkan penyerang import, Kpah Sherman.

Katanya, pemain kelahiran Liberia itu bekerja keras untuk membantu pasukan melakar kemenangan pada perlawanan ke-11 itu.

Pada perlawanan itu, Sherman membantu Sri Pahang beroleh tiga mata selepas tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-46.

Kemenangan itu mengekalkan Sri Pahang di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengutip 25 mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC, masing-masing mengutip 33 mata dan 25 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:25 PM