PEMAIN Barcelona berlari masuk ke terowong selepas penyokong Espanyol menceroboh padang. -FOTO AFP
PEMAIN Barcelona berlari masuk ke terowong selepas penyokong Espanyol menceroboh padang. -FOTO AFP
AFP

Cornella de Llobregat: Pemain Barcelona dihalau dari padang oleh penyokong Espanyol yang marah ketika mereka meraikan kejayaan memenangi La Liga dengan jurulatih Xavi Hernandez berkata sukar untuk "mengawal" emosi pasukan selepas menang.

Barcelona memenangi gelaran La Liga buat pertama kali sejak tahun 2019 selepas menewaskan Espanyol seterusnya merampas kembali kejuaraan daripada Real Madrid.

Gergasi Catalan itu membelasah Espanyol 4-2 di Stadium RCDE di Cornella dan meraikan kejayaan itu di atas padang selepas tamat perlawanan dengan kira-kira 100 penyokong Espanyol menceroboh masuk ke padang.

Pemain Barcelona kemudiannya berlari memasuki terowong untuk menyelamatkan diri dan Xavi berkata pasukannya perlu menghormatinya kerana mereka tidak berada di stadium sendiri.

"Ia adalah saat yang sangat emosional, saat yang sangat sukar untuk tidak diraikan, selepas beberapa bulan bekerja," kata Xavi.

"Kami tidak meraikannya hanya kerana kami berada di padang Espanyol."

Jurulatih itu berkata dia tidak melihat penyokong memasuki padang dengan tergesa-gesa kerana dia sudah pun masuk dan menyuruh pemainnya mengikut.

"Saya memberitahu mereka untuk masuk kerana saya fikir itu sudah cukup," kata Xavi.

"Sambutan itu biasa, tetapi saya tahu kami tiada di tempat sendiri dan kami perlu menghormati perkara itu.

"Saya tahu (emosi) sukar dikawal tetapi saya memberitahu mereka perkara terbaik adalah untuk masuk ke dalam sekarang."

Tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah memberi tamparan hebat buat Barca, tetapi mereka memenangi Piala Super Sepanyol pada Januari, sebelum mengesahkan kejuaraan La Liga ketika musim berbaki empat perlawanan.

Gol Barcelona di jaringkan Robert Lewandowski yang meledak dua kali dengan Alejandro dan Jules Kounde turut menemui sasaran, manakala Javi Puado dan Joselu menjaringkan gol lewat permainan tuan rumah.

Barcelona mengharungi tempoh sukar di dalam dan di luar padang sejak beberapa tahun kebelakangan dan kemenangan ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan mereka, dengan pengendali, Xavi Hernandez memenangi trofi major pertamanya sejak mengambil alih pasukan pada November 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 8:36 AM