REAKSI  Guiu selepas menjaringkan gol kemenangan Barcelona.
REAKSI Guiu selepas menjaringkan gol kemenangan Barcelona.
AFP

Barcelona: Pemain remaja Marc Guiu berkata, dia tidak boleh tidur selepas muncul wira Barcelona dengan meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Athletic Bilbao dalam aksi La Liga awal pagi tadi.

Skuad Xavi Hernandez yang menduduki tangga ketiga liga akan berdepan pendahulu Real Madrid pada Sabtu depan dan ketinggalan hanya satu mata di belakang musuh ketat mereka itu serta pasukan di tangga kedua Girona yang menewaskan Almeria 5-2.

Barcelona gagal memecah kebuntuan sehinggalah Xavi memasukkan penyerang, Guiu, 17, yang kemudiannya membalas kepercayaan dengan menjaringkan gol seminit kemudian.

"Malam ini saya tidak akan tidur," kata Guiu kepada DAZN.

"Sukar saya percayainya, saya hanya cuma boleh menarik nafas dan menikmati detik itu."

Guiu muncul pemain muda terbaru yang beraksi untuk Barca ketika akademi La Masia terus menghasilkan 'permata'.

"Ia mengejutkan saya kerana mereka tidak gentar. Saya kagum melihat mereka. Mereka seperti melihat muka saya dengan berkata 'Masukkan saya, anda akan melihat semuanya berjalan lancar," kata Xavi.

"Saya saksikan apa yang berlaku kepada Gavi, Balde, Lamine, Fermin, dan kini Marc, dia langsung tak takut."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 8:14 AM