PEMAIN tengah Barcelona, Sergi Roberto (kanan) meraikan gol ketiga dan kemenangan 3-2 pasukannya ke atas Almeria pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. FOTO AFP
PEMAIN tengah Barcelona, Sergi Roberto (kanan) meraikan gol ketiga dan kemenangan 3-2 pasukannya ke atas Almeria pada aksi La Liga Sepanyol di Estadi Olimpic Lluis Companys, Barcelona awal pagi tadi. FOTO AFP
Reuters

Barcelona: Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez akui lega apabila anak buahnya memastikan tiga mata maksimum berjaya diraih selepas mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Almeria dalam aksi La Liga awal pagi tadi.

Kejayaan mengutip mata penuh menyaksikan Barcelona mengakhiri rentetan tiga aksi tanpa menang dalam semua pertandingan ketika mereka menuju ke rehat Krismas.

Kelegaan Xavi itu juga didorong oleh status Almeria yang kini berada di tangga tercorot liga sekaligus menyelamatkan maruah pasukannya daripada tumbang di tangan lawan.

"Kami lebih banyak menderita berbanding apa yang saya jangkakan dan daripada yang sepatutnya. Kami melakukan 30 percubaan dan dibolosi dua gol.

"Babak pertama tidak boleh diterima buat saya sebagai jurulatih. Babak kedua, ya. Kami banyak kali gagal dan mengharungi keperitan ini bagi tempoh sebulan setengah atau dua bulan.

"Pasukan ini kekurangan jiwa. Pasukan tidak mempunyai jiwa seperti musim lalu. Sama ada dari segi bertindak agresif mahupun tumpuan... Babak kedua adalah Barca yang saya mahukan," kata Xavi.

Barcelona mendominasi babak pertama dan Raphinha meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-33, menampan masuk bola muntah dari jarak dekat, selepas penjaga gol Almeria, Luis Maximiano menafikan tandukan pemain pertahanan Ronald Araujo susulan sepakan sudut.

Namun pelawat menyamakan kedudukan sejurus sebelum rehat apabila Baptistao menjaringkan gol menerusi sepakan lambung, gol yang pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid tetapi pengadil mengubah keputusannya selepas semakan VAR.

Roberto kembali meletakkan Barca mendahului selepas sejam, menanduk masuk sepakan sudut sebelum Edgar Gonzalez menyamakan kedudukan sekali lagi buat Almeria dan kemudian Roberto memastikan gol kemenangan apabila mengelirukan Maximiano dari jarak dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 10:21 AM