HAALAND (kiri) sedia sekat hajat Real. FOTO AFP
HAALAND (kiri) sedia sekat hajat Real. FOTO AFP
AFP

Manchester: Ketika Manchester City merancang misi membalas dendam menentang Real Madrid pada separuh akhir Liga Juara-Juara, mereka lebih berkeyakinan selepas kehadiran Erling Haaland sekali gus dapat memberi perbezaan ketika kedua-dua pasukan bertemu 12 bulan lalu.

City seakan hampir mara ke final buat kali kedua berturut-turut selepas mendahului agregat 5-3 pada perlawanan separuh akhir pertama.

Bagaimanapun, pada separuh masa kedua aksi diheret sehingga ke masa tambahan di Santiago Bernabeu.

Semuanya disebabkan dua gol Rodrygo dalam tempoh dua minit sebelum Karim Benzema menyempurnakan penalti pada masa tambahan bagi membolehkan Real mara ke final dan muncul juara buat kali ke-14.

Kerapuhan pertahanan di lewat permainan hanyalah sebahagian daripada cerita kerana City tidak mengambil beberapa peluang untuk menjaringkan gol berikutan ketiadaan penjaring gol semula jadi.

Tidak sampai seminggu kemudian, City mengumumkan mereka memenangi perlumbaan mendapatkan mesin gol terhebat di dunia sekarang dengan menewaskan Real untuk menandatangani Haaland.

Pemain antarabangsa Norway itu sudah meledak 51 gol dalam semua pertandingan ketika musim pertamanya di England.

"Dengan Erling kami tahu dia mampu menjaringkan gol di mana-mana," kata bos City, Pep Guardiola selepas Haaland mencipta rekod baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 35 gol dalam semusim minggu lalu.

"Apabila anda memberinya peluang, dia menjaringkan gol dalam semua situasi. Penalti, hantaran silang, kombinasi, peralihan. Dia boleh melakukan banyak, banyak perkara.

"Itulah sebabnya dia menjaringkan banyak gol. Saya mempunyai perasaan dia mahu menjaringkan gol kerana mentalitinya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 2:01 PM