FERNANDES (tengah) meraikan jaringan kedua United. FOTO AFP
FERNANDES (tengah) meraikan jaringan kedua United. FOTO AFP
AFP

Manchester, United Kingdom: Jurulatih Manchester United, Erik ten Hag memuji prestasi terbaik pasukannya selepas menewaskan Tottenham 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi tadi.

Fred dan Bruno Fernandes meledak jaringan pada babak kedua yang membolehkan Red Devils kini hanya satu mata di belakang kelompok empat pasukan teratas.

Hanya ketangkasan penjaga gol Hugo Lloris menyelamatkan Tottenham daripada kekalahan lebih besar sekali gus menjejaskan impian Spurs untuk meraih gelaran liga pertama sejak 1961.

"Ia prestasi terbaik setakat musim ini," kataTen Hag. "Anda lihat kami berkembang. Beberapa minggu lalu anda lihat bagaimana kami bermain. Kami semakin baik setiap perlawanan.

"Menentang Spurs yang saya anggap pasukan hebat, benar-benar seronok menyaksikannya."

Ten Hag sebelum ini kecewa dengan barisan penyerangnya yang hanya menjaringkan satu gol di tempat sendiri ketika menentang Omonia Nicosia dan Newcastle.

Dengan Cristiano Ronaldo sekali lagi 'diperam', United tampak sekali lagi tumpul walaupun mempunyai 19 percubaan sepanjang 45 minit pertama.

Namun Fred memecah kebuntuan sejurus selepas rehat apabila rembatannya terkena kaki pemain Tottenham sebelum menerjah jaring.

Tottenham cuba mengasak mencari gol penyamaan tetapi Harry Kane dan Son Heung-min dikawal ketat oleh gandingan Lisandro Martinez dan Raphael Varane.

Fernandes yang gagal menjaringkan gol untuk kelab sejak Ogos lalu menambah gol kedua United dengan rembatan lencung dalam kotak penalti ketika permainan berbaki 21 minit.

Pemain Portugal itu tidak bernasib baik apabila satu lagi golnya dibatalkan kerana ofsaid manakala percubaan Rashford dihampakan Lloris.

Namun kemenangan Red Devils itu dibayangi sikap Ronaldo yang meluru ke terowong tanpa kekal di tempat duduk untuk bersama rakan sepasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 7:41 AM