PEMAIN Sri Pahang FC, Muhammad Syazwan Mohd Andik Ishak mengawal bola ketika diasak pemain PDRM FC, Fadi Mahmoud Awad Saleh (tengah) dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN Sri Pahang FC, Muhammad Syazwan Mohd Andik Ishak mengawal bola ketika diasak pemain PDRM FC, Fadi Mahmoud Awad Saleh (tengah) dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui bahawa beliau belum lagi mengecapi 'nikmat' kesebelasan terbaik walaupun sudah mengharungi tujuh perlawanan Liga Super.

Fandi berkata, masalah tonggak utama di posisi tengah yang sering dibelenggu kecederaan menyebabkan beliau terpaksa 'tangkap muat' pemain yang ada sekali gus tidak boleh membariskan skuad impiannya.

Beliau berkata, walaupun mengalami kekangan menggunakan khidmat tonggak utama namun pemain lain memainkan peranan mereka dengan baik hingga mampu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super.

"Sebenarnya, Sri Pahang tidak dapat menurunkan kesebelasan terbaik kerana pemain utama di bahagian tengah sering mengalami kecederaan.

"Apa yang saya boleh katakan, banyak kelemahan perlu diperbaiki lagi kerana mereka mungkin kurang bermaya atau motivasi menyebabkan sering leka sekali gus membuka ruang kepada lawan menyumbat gol.

"Pada masa sama, kita tak boleh terlalu selesa dengan rekod tanpa kalah kerana satu masa nanti ada pasukan akan meleburkannya," katanya.

Pada pertembungan malam tadi menyaksikan Sri Pahang terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan selepas membenam PDRM 2-1 pada pertembungan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Kejayaan Sri Pahang mengutip tiga mata bukan sahaja mengubat kekecewaan Sabtu lalu selepas seri 1-1 menentang Kedah Darul Aman di laman sendiri, malah membolehkan skuad Tok Gajah memintas Sabah di tangga keempat dengan kelebihan jaringan selepas berkongsi 13 mata.

Pemain sayap, Muhd Baqiuddin Shamsudin membuka tirai jaringan skuad bimbingan Fandi Ahmad pada minit ke-18 selepas menjaringkan gol pertamanya musim ini sebelum penyerang Kpah Sherman menggandakan kedudukan empat minit kemudian sekali gus meledak gol keempatnya musim ini.

PDRM yang melakar dua kemenangan berturut-turut sebelum ini, bangkit merapatkan defisit jaringan pada separuh masa kedua menerusi tandukan James Okwuosa pada minit ke-76, namun gagal memburu gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 4:04 PM