DE PAULA ayam tambatan Melaka FC.
DE PAULA ayam tambatan Melaka FC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Atas kertas Terengganu FC (TFC) dijangka tidak berdepan masalah layak ke suku akhir apabila bakal melayani kunjungan pasukan Liga M3, Melaka FC dalam saingan Piala FA pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Kemenangan tiga kali berturut-turut pada aksi Liga Super bakal menyuntik lagi semangat pemain skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk meneruskan momentum kemenangan berdepan pasukan liga divisyen tiga itu.

Namun pertahanan Terengganu FC (TFC), Muhammad Azam Azmi Murad enggan skuadnya dilabel pasukan pilihan, sebaliknya bek kanan skuad Penyu itu tetap menghormati lawan selain menasihati diri dan rakan sepasukan agar berwaspada dengan taktikal dan 'jerat' yang bakal direncanakan pengendali skuad lawan, Pedro Hipolito.

Jelas kapten skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan itu, kehadiran pemain naturalisasi, Guilherme De Paula selain ramai bekas pemain Liga Super juga bakal menjadi ancaman kepada benteng TFC lebih-lebih lagi kekuatan sebenar skuad kendalian jurulatih kelahiran Portugal itu belum diketahui.

"Atas kertas pastinya penggiat sukan bola sepak memilih TFC untuk mara ke pusingan seterusnya, tapi sejujurnya dalam sukan ini kejutan adalah perkara lumrah dan ianya kerap terjadi jika tidak berwaspada.

"Lagipun lawan pastinya hadir dengan keazaman untuk melakukan kejutan lebih-lebih lagi skuad itu mempunyai penyerang naturalisasi negara, De Paula, jadi kita harus waspada dengan taktikal lawan dan perlu 'merantai' pergerakan penyerang itu.

"Saya percaya jika rakan sepasukan beraksi mengikut perancangan jurulatih, pastinya kami tidak tersungkur lebih-lebih lagi bakal beraksi di depan ribuan peminat setia," kata Azam ketika ditemui sempena Himpunan Atlet Terengganu di Dataran Drawbridge, kelmarin.

Sementara itu Steinbruckner menuntut anak buahnya meledak jaringan seawal mungkin selain kekal fokus sepanjang perlawanan dan tidak mengambil mudah pertemuan itu walaupun menentang pasukan daripada Liga M3.

"Sebarang kealpaan bakal mengundang padah kerana lawan pasti mahu melakukan kejutan selain kita tidak tahu kekuatan sebenar pasukan itu. Jadi saya harapkan pemain tidak mengambil mudah sebaliknya kekal waspada," kata pengendali kelahiran Croatia itu yang tidak dapat menurunkan dua tonggak, Sardor Kulmatov dan Mohd Faiz Nasir akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 1:00 PM