PERTAHANAN import TFC, Surdor Kulmatov (kanan). -FOTO TFC
PERTAHANAN import TFC, Surdor Kulmatov (kanan). -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertahanan import baharu Terengganu FC (TFC), Surdor Kulmatov sedar bukan tugas mudah buatnya untuk mengemudi jentera pertahanan tengah skuad Penyu itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bagaimanapun 'kereta kebal' kelahiran Uzbekistan itu tekad untuk menyesuaikan diri dengan secepat mungkin bersama rakan sepasukannya bagi memastikan harapan menggunung disandarkan kepadanya untuk menyekat gerakan rangkaian penyerang skuad lawan tercapai.

Bekas pemain kelab PFC Sogdiana dalam Liga Uzbekistan berusia 29 tahun itu juga mengharapkan dia dapat membentuk gandingan lebih mantap bersama rakan seposisinya.

"TFC adalah pasukan baharu saya, jadi sudah tentu mengambil sedikit masa untuk tempoh penyeseuaian diri lebih-lebih lagi cuaca di Terengganu berbeza berbanding di negara saya.

"Bagaimanapun saya tidak mahu perkara itu menjadi halangan buat saya untuk memperagakan aksi bertenaga, sebaliknya saya akan berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan walaupun saya dimaklumkan ramai pemain baharu terutama import.

"Buat rakan sepasukan, kerjasama dan komitmen yang tinggi ditagih bagi memastikan pasukan TFC ini mampu 'terbang' lebih tinggi dalam kancah Liga M dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia)," kata pemain berketinggian 1.85 meter itu.

Pemain yang mempunyai pengalaman luas di pentas Asia itu kini sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak awal Januari bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner yang dibantu bekas pengendali Terengganu FC II (TFC) II, Badrul Afzan Razali.

Musim ini, Kulmatov dijangka bakal bergandingan dengan pertahanan muda kelahiran Kelantan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni selain pertahanan kanan skuad kebangsaan, Muhammad Azam Azmi Murad dan bek kiri meningkat naik, Muhammad Alif Zakaria.

Selain Kulmatov, TFC mempunyai seorang lagi pertahanan import tinggi lampai kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic yang dalam proses menjadi pemain naturalisasi pertama skuad Penyu itu musim ini selain pemain tengah kelahiran Croatia, Damagoj Pusic yang juga boleh beraksi di posisi pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:55 PM