PEMAIN PJ City meraikan jaringan pembukaan yang dihasilkan Khyril Muhymeen. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN PJ City meraikan jaringan pembukaan yang dihasilkan Khyril Muhymeen. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Petaling Jaya City FC (PJ City FC) mengakhiri kempen Liga Super musim ini dengan nota ceria apabila menewaskan Selangor FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di Kelana Jaya, malam tadi.

Kejayaan itu amat manis buat skuad kendalian P Maniam di mana mereka berjaya menamatkan saingan di tangga ketujuh dengan mengumpul 24 mata daripada 22 aksi sepanjang musim ini.

Bagaimanapun cerita berbeza buat Selangor yang sebelum ini mensasarkan tiga mata penuh dan kekalahan itu meletakkan tuan rumah kekal di tempat kelima dengan 36 mata.

Skuad The Phoenix yang langsung tidak menggunakan khidmat pemain import terlebih dulu mengejutkan lawan apabila mendahului menerusi tandukan Khyril Muhymeen Zambri yang bijak memanfaatkan sepakan sudut pada minit ke-21.

Skuad Red Giants kembali memperkemaskan rentak dan anak didik Karsten Neitzel nyaris memiliki beberapa peluang namun gagal menembusi benteng PJ City.

Begitupun memasuki masa kecederaan babak pertama, Selangor dihadiahkan sepakan penalti dan ayam tambatan Ifedayo Olusegun mudah menewaskan Kalamullah Al-Hafiz untuk menyamakan kedudukan.

Gol itu juga adalah yang ke-26 buat Ifedayo mengesahkan statusnya selaku pemenang anugerah penjaring terbanyak musim ini.

Seperti skrip pada separuh masa pertama, skuad PJ City sekali lagi mendahului apabila kali ini giliran Syahmi Zamri yang berjaya melepaskan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-62 untuk menewaskan Khairulazhan Khalid buat kali kedua.

Kem Selangor terus tertekan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Syahmi Safari membuat terjahan keras daripada belakang untuk pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad merah kepadanya.

Meskipun Selangor cuba bangkit namun barisan pertahanan pelawat cukup ampuh sekali gus meranapkan impian tuan rumah untuk meraih kemenangan pada aksi terakhir liga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 11:28 PM