PEMAIN NS, Angel Aldeguer Guirado (kanan) bersaing dengan pemain Kelantan, Ahmad Haziq Ahmad Puad di stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. FOTO/HAZREEN MOHAMAD
PEMAIN NS, Angel Aldeguer Guirado (kanan) bersaing dengan pemain Kelantan, Ahmad Haziq Ahmad Puad di stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. FOTO/HAZREEN MOHAMAD
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan (NS) akhirnya melakar kemenangan kedua musim ini selepas menewaskan Kelantan 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Jentera serangan NS yang diterajui gandingan N Thanabalan dan penyerang import baharu dari Sepanyol, Angel Guirado bermula garang bagaimanapun gerakan-gerakan mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Nicolas Velez berpeluang meletakkan bola ke dalam gawang lawan pada minit ke-15, namun sepakan leretnya sekadar tepat ke dakapan penjaga gol Kelantan, Mohd Fikri Che Soh.

Bagaimanapun kesilapan itu berjaya ditebus Alex Moraes Gomes yang menanduk kemas hasil sepakan sudut Kim Do Heon, untuk gol pertama NS pada minit ke-16.

Jaringan itu membakar semangat buat anak buah Mario Gomes untuk melakukan serangan ke kubu skuad The Red Warriors (TRW) bimbingan Fajer Ebrahim.

Pada minit ke-37, NS mendapat sepakan penalti selepas Thanabalan dikasari dalam kotak penalti oleh Muhamad Shahrul Nizam Hasni dan Guirado yang diambil bagi menggantikan Prak Mony Udom dari Kemboja pada sesi perpindahan kedua, menyempurnakan sepakan untuk gol kedua tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 12:24 AM