DESCHAMPS (kanan) bercakap dengan penyerang Perancis, Klylian Mbappe (dua dari kanan) dan pembantu jurulatih, Guy Stephan pada sesi latihan. FOTO AFP
DESCHAMPS (kanan) bercakap dengan penyerang Perancis, Klylian Mbappe (dua dari kanan) dan pembantu jurulatih, Guy Stephan pada sesi latihan. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Pengurus Perancis, Didier Deschamps berkata, dia tidak terkejut dengan pemecatan bekas pengurus Jerman, Hansi Flick.

Bercakap kepada media menjelang persahabatan kedua-dua pasukan, awal pagi esok di Dortmund, Deschamps berkata, dia simpati dengan Flick, tetapi menjelaskan 'semua jurulatih tahu apa yang dijangkakan jika tidak mendapat keputusan diingini'.

Flick muncul pengurus pertama dipecat dalam sejak Jerman selepas prestasi hambar dan hanya menang sekali daripada enam perlawanan sejak mereka tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia Qatar 2022.

"Bagi skuad Jerman, jangkaan terhadap mereka memang sentiasa tinggi," kata jurulatih yang memenangi Piala Dunia 2018 itu kepada media.

Sekalipun Hansi dipecat, Deschamps berkata, Jerman yang juga tuan rumah Euro 2024 tetap menjadi ancaman besar.

"Terdapat ramai pemain hebat dalam pasukan itu. Mererka datang dari kelab terbaik di dunia."

Penyerang Perancis, Antoine Griezmann berkata, dia terkejut dengan rentetan prestasi hambar dialami Jerman.

Pemain Atletico Madrid itu berkata, Jerman perlu menemui formula tepat untuk kembali menjadi skuad elit kerana pasukan itu memiliki pemain hebat dari kelab besar yang boleh menaikkan semula bola sepak Jerman.

Griezmann, 32, turut mendedahkan matlamat utamanya adalah menamatkan karier di Major League Soccer (MLS), sambil membayangkan kemungkinan menyertai ramai pemain bintang yang berpindah ke Arab Saudi.

Penyerang itu berkata, dia cukup faham apabila ramai pemain memilih untuk bermain di Liga Pro Saudi.

"Kami bercakap mengenai jumlah wang menakjubkan di sini. Mereka berfikir mengenai masa depan anak dan cucu mereka. Saya fikir, berpindah ke sana adalah normal."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 10:30 AM