SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. FOTO ARKIB NSTP
SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya sah akan 'bermusafir' di luar negara se;ama sembilan hari buat pertama kalinya pada tahun ini bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 dari 4 hingga 12 September ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang mengesahkan anak buah Kim Pan-gon akan beraksi di luar Malaysia pada jendela aksi antarabangsa itu.

Sebelum ini, dalam dua jendela aksi antarabangsa pada Mac dan Jun menyaksikan skuad negara mengharungi perlawanan di dalam negara dengan menjadikan Johor Bahru dan Kuala Terengganu sebagai pusat latihan pasukan.

Malah, dua venue di negeri terbabit iaitu Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin turut dijadikan gelanggang aksi persahabatan skuad kendalian Pan-gon.

"Untuk perlawanan kalendar Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) September depan, kita akan bermain di luar dan akan umumkan," katanya bagi menamatkan teka teki lokasi latihan skuad negara sama ada di dalam negara mahupun luar negara.

Ditanya pasukan manakah yang akan menguji skuad Harimau Malaya, Noor Azman mengesahkan pasukan kebangsaan China adalah lawan yang bakal ditemui nanti dan akan beraksi di negara Tembok Besar itu.

Manakala, satu lagi pasukan pula masih dirahsiakan oleh badan induk itu.

"Tapi biasanya banyak sudah khabar angin (pasukan yang dikaitkan menentang Malaysia). Tapi bulan September kita main di luar," katanya.

Selain China, beberapa negara dikaitkan untuk berdepan skuad Harimau Malaya antaranya Mesir, Kuwait dan Taiwan.

Ketika ini, skuad negara dalam rangka persiapan menghadapi Piala Asia di Qatar pada Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 2:53 PM