AKSI perlawanan di antara Bayern menentang PSG dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO
AKSI perlawanan di antara Bayern menentang PSG dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO
AFP

Berlin: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich dan ahli lembaga pengarah, Uli Hoeness memberi amaran tentang pengaruh wang asing yang semakin meningkat dalam bola sepak, selepas mereka menewaskan Paris Saint-Germain di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Selasa lalu.

Bercakap pada satu acara di Hanover, Hoeness berkata kelab tradisional seperti Bayern boleh ketinggalan di belakang kelab elit bola sepak dan menggesa peraturan pemilikan kelab Jerman itu dilonggarkan bagi membolehkan pasukan menarik pelabur luar.

PSG dimiliki oleh Qatar Sports Investments (QSI), anak syarikat dana kekayaan negara.

"Anda perlu bimbang bahawa beberapa kelab akan dibeli pada masa hadapan, dari Timur Tengah khususnya," kata bekas penyerang Bayern itu.

"Ada cakap-cakap Qatar mahu membeli Manchester United dan Arab Saudi mahu membeli Liverpool.

"Maka tidak akan ada had (perbelanjaan). Ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan untuk kita," tambahnya dengan sinis.

Hoeness, yang terkenal dengan kenyataan berwarna-warni di media Jerman yang sering ditujukan kepada lawan domestik atau antarabangsa, kemudian mengecam PSG.

Bayern menewaskan PSG yang disokong Qatar 1-0 dalam perlawanan pertama Liga Juara-Juara di Paris Selasa lalu dan Hoeness berkata permainan itu menunjukkan "wang tidak selalunya menjaringkan gol."

"Saya sangat suka menang menentang mereka," kata Hoeness yang berusia 71 tahun itu.

Hoeness sekali lagi menggesa bola sepak Jerman membatalkan peraturan '50+1', yang memerlukan ahli memiliki majoriti kelab, sekali gus menyekat pelaburan luar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 8:58 AM