ATSU antara mangsa yang masih belum ditemui selepas gempa bumi melanda Turkiye. FOTO Reuters
ATSU antara mangsa yang masih belum ditemui selepas gempa bumi melanda Turkiye. FOTO Reuters
Reuters

Accra: Pemain sayap antarabangsa Ghana, Christian Atsu antara mangsa yang dilaporkan hilang selepas runtuhnya sebuah bangunan pangsapuri di Hatay, Turkiye berikutan gempa bumi besar yang melanda negara itu semalam.

Dia menjaringkan gol kemenangan minit ke-97 untuk pasukan liga utama Turki, Hatayspor pada malam Ahad ketika mereka menewaskan Kasimpasa 1-0, tetapi beberapa jam kemudian dilaporkan hilang berikutan gempa 7.8 magnitud yang meruntuhkan seluruh blok apartmen di beberapa bandar Turki dan Syria.

Naib presiden Hatayspor Mustafa Ozat memberitahu stesen TV Turki Play Spor: "Christian Atsu dan (pengarah sukan kelab) Taner Savut masih berada di bawah runtuhan."

Beliau turut memaklumkan beberapa pemain dan pegawai berjaya diselamatkan dan kelab itu sedang berusaha untuk membantu orang lain.

Atsu, 31, sebelum ini pernah beraksi di Liga Perdana bersama Newcastle dan Everton, secara pinjaman daripada Chelsea dan kemudiannya menyertai Hatayspor pada September lalu.

Newcastle dalam laman twitter mereka menulis "berdoa untuk berita positif". Perkara yang sama turut ditulis oleh Chelsea.

"Kami berdoa untuk pemain antarabangsa Ghana Christian Atsu dan mangsa gempa bumi di Turki dan Syria," tulis Persatuan Bola Sepak Ghana di Twitter.

"Kami tetap berharap untuk berita positif."

Atsu kali terakhir dipilih untuk bermain untuk Ghana pada 2019 namun belum secara rasmi bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 8:43 AM