Agensi

London: Manchester City boleh disingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka didakwa dengan lebih 100 dakwaan pelanggaran peraturan kewangan.

Hukuman lain yang mungkin boleh dikenakan termasuk pemotongan mata untuk juara bertahan itu, larangan perpindahan pemain, had perbelanjaan dan juga pelucutan gelaran juara sebelum ini.

Siasatan ke atas kelab itu sudah berlangsung selama empat tahun.

Kini, Liga Perdana telah mendedahkan hasil siasatan di laman web rasmi mereka sekali gus berita buruk untuk kelab Etihad itu, meskipun pada peringkat ini mereka sudah didakwa tetapi belum didapati bersalah.

Dakwaan itu berkaitan dengan pelanggaran peraturan selama sembilan musim antara 2009 dan 2018, dengan siasatan bermula sejak Disember 2018.

Siasatan itu bermula susulan dokumen yang dibocorkan oleh laman web Jerman, Der Spiegel dengan siasatan berkenaan memfokuskan kepada tiga perkara utama.

MAN City berdepan 100 dakwaan pelanggaran kewangan. FOTO Reuters
MAN City berdepan 100 dakwaan pelanggaran kewangan. FOTO Reuters

City juga didakwa kerana gagal mematuhi peraturan Liga Perdana yang memerlukan kelab mematuhi peraturan kewangan Fair Play UEFA dari musim 2013-14 hingga 2017-18.

Kelab itu juga gagal mematuhi peraturan Liga Perdana mengenai keuntungan dari musim 2015-16 hingga 2017-18.

Liga Perdana juga mendakwa City gagal memberikan kerjasama dan membantu siasatan.

UEFA mengenakan penggantungan selama dua tahun dan mendenda City £25 juta (RM128.2 juta) pada Februari 2020 atas dakwaan pelanggaran fair play peraturan kewangan.

Bagaimanapun, hanya lima bulan kemudian, hukuman itu telah dibatalkan dan denda terakhir yang dikenakan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan hanya £9 juta (RM46.1 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 8:26 PM