GUARDIOLA gesa isu pertuduhan terhadap City diselesaikan segera. -FOTO AFP
GUARDIOLA gesa isu pertuduhan terhadap City diselesaikan segera. -FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa lebih 100 pertuduhan Liga Perdana Inggeris (EPL) dikenakan terhadap kelab itu kerana dakwaan masalah kewangan diselesaikan segera.

City dirujuk kepada suruhanjaya bebas pada Februari atas dakwaan pelanggaran peraturan antara 2009 dan 2018 dengan EPL turut menuduh City tidak bekerjasama sejak siasatan bermula pada Disember 2018.

Pertuduhan berskala besar itu yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh kelab dan besarnya implikasi jika didapati bersalah menyaksikan ia adalah kes yang akan berlarutan selama berbulan-bulan atau mungkin bertahun-tahun.

Guardiola bagaimanapun tidak mahu masalah itu menyelubungi pencapaian luar biasa pasukannya dan mahukan penyelesaian secepat mungkin.

Namun pengendali dari Sepanyol itu yang mempunyai kontrak sehingga 2025 menegaskan dia tidak akan meninggalkan kelab itu biarpun berkemungkinan sekatan masih kekal.

"Saya akan kekal musim depan sementara terdapat 110 pelanggaran terhadap kami," kata Guardiola, yang apabila ditanya sama ada dia boleh melanjutkan tiga atau empat tahun selepas itu dan menambah: "Tidak, tidak, tidak. Cukuplah dua ni.

"Apa yang saya mahu ialah jika Liga Perdana dan hakim boleh menyelesaikannya secepat mungkin, maka jika kami melakukan sesuatu yang salah, semua orang akan mengetahuinya.

"Dan jika kami sebagai sebuah kelab selama bertahun-tahun melakukannya dengan cara yang betul maka orang ramai akan berhenti bercakap tentang itu.

"Harap mereka tidak begitu sibuk dan hakim boleh melihat kedua-dua belah pihak dan memutuskan apa yang terbaik kerana pada akhirnya saya tahu dengan adil apa yang kami buat kami menang di atas padang dan kami tidak mempunyai sebarang keraguan.

"Kami terima jika ia salah dan jika ia berlaku. (Tetapi) Jangan tunggu dua tahun. Mengapa kita tidak melakukannya dengan lebih cepat?

"Mari kita lakukan dengan cepat untuk manfaat semua orang. Kami mahu mempertahankan prinsip kami dan jika orang meragui, OK, mari pergi, mari lakukannya secepat mungkin."

Pelanggaran yang didakwa terhadap City adalah membabitkan laporan maklumat kewangan yang tepat, penyerahan butiran maklumat gaji pengurus dan pemain dalam kontrak yang berkaitan, tanggungjawab kelab sebagai ahli Liga Perdana untuk mematuhi peraturan Financial Fair Play UEFA dan kepada keuntungan dan kemampanan liga itu sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:48 AM