DEVAN memaklumkan NSFC sedang berusaha untuk memuktamadkan senarai pemain import musim ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
DEVAN memaklumkan NSFC sedang berusaha untuk memuktamadkan senarai pemain import musim ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketika sebahagian pasukan lain sudah melengkapkan senarai pemain terutama pemain import, Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) mungkin mengambil sedikit masa untuk mengumumkan pemain berkenaan.

Sehingga kini NSFC masih belum dapat mengumumkan senarai pemain import yang diperlukan, biarpun sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini hanya tinggal tidak sampai sebulan lagi.

Menjelaskan situasi berkenaan, pengurus merangkap ketua jurulatih pasukan, K Devan, akui pihaknya menghadapi sedikit masalah dalam memuktamadkan senarai pemain import musim ini.

"Kita ada sedikit masalah untuk dapatkan (memuktamadkan) kedudukan pemain import kerana kelab memerlukan sumber kewangan yang baik dan ketika ini usaha itu sedangkan dilakukan untuk mencari penyelesaian.

"Apabila selesai dari segi penajaan, kita akan umumkan senarai atau pengambilan pemain import pasukan musim ini. Kita memerlukan sedikit masa lagi untuk memuktamadkannya," katanya kepada pemberita selepas aksi persahabatan dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan buntu mendapatkan gol apabila berkesudahan seri 0-0.

Sebelum ini, Devan memaklumkan bahawa Negeri Sembilan mungkin akan menggunakan lima pemain import musim ini walaupun sembilan pemain yang dibenarkan oleh pengendali Liga M, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pemain import musim lalu, Herold Goulon dari Perancis antara nama yang disebut bakal dikekalkan.

Mengulas lanjut, Devan berkata bahawa pihaknya sedar akan keperluan pemain import dalam skuad Hobin Jang Hobin, bukan sahaja bagi mengharungi saingan Liga M yang dijangka lebih mencabar musim ini, tetapi juga bagi mempertahankan reputasi pasukan yang menduduki tangga keempat saingan Liga Super musim lalu.

Beliau akui kelewatan kehadiran pemain import akan memberi kesan dari segi persiapan pasukan.

"Kelewatan kehadiran pemain berkenaan sudah tentu sedikit sebanyak akan beri kesan jika mereka lambat dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di sini dan liga kita khususnya taktikal pasukan dan itulah kekangan yang kita hadapi ketika ini.

"Tapi kita akan buat yang terbaik supaya pemain import yang datang nanti dapat cepat menyesuaikan diri dan boleh membantu pasukan dalam cabaran awal liga," kata pengendali berasal dari Baharu ini.

Dalam pada itu, pengendali berpengalaman berkenaan akui berpuas hati dengan kemajuan prestasi anak buahnya sepanjang latihan dan aksi persahabatan yang telah dijalankan.

Beliau mahu setiap pemain terus fokus kepada usaha mencapai kemuncak prestasi menjelang sepak mula liga agar pasukan dapat memulakan cabaran dengan mendapat keputusan yang baik.

"Saya mahu pemain sentiasa kekalkan disiplin dan berikan fokus kepada usaha mencapai prestasi terbaik dan tingkatkan kondisi kekuatan fizikal serta mental kerana tempoh cabaran liga bermula semakin singkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 2:01 PM