Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Perak FC membuat kejutan apabila berjaya mendapatkan sentuhan 'samurai biru' dengan membawa pulang penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak dari Jepun.

Hadi, 22, yang berkelana selama tiga musim di Liga Jepun sejak 2019 bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu memilih untuk kembali ke saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin, pihaknya berjaya menawarkan kontrak kepada Hadi selepas tiga bulan memujuk pemain muda sensasi negara itu untuk menyertai Perak FC.

Katanya, kejayaan mengikat Hadi juga adalah hasil bantuan pengendali pasukan iaitu Lim Teong Kim.

"Sebenarnya nama Hadi Fayyadh ini datang kepada kami apabila kami ambil alih (pertengahan musim lalu). Ada (peminat) menyebut tentang Hadi Fayyadh anak kelahiran negeri Perak.

"Bos kenapa tak cuba Hadi Fayyadh bawa pulang dari Jepun, jadi dari tahun lepas dan kita cuba cari tapi tak dapat.

"Tapi Alhamdulillah dengan kemasukan jurulatih Teong Kim, dengan bantuan beliau dan beberapa teman beliau, kita dapat hubungi Hadi dan proses ini agak lama dua tiga bulan untuk meyakinkan Hadi Fayyadh kembali ke negeri Perak.

"Dia akhirnya bersetuju untuk bersama kita dan kita rasa sangat-sangat terharu kerana dapat pemain yang berkelana di Jepun selama beberapa tahun, dan harap dengan kehadirannuya dapat menambah keyakinan kepada penyokong Perak untuk turun menyokong kami tahun ini," kata Bobie pada majlis pelancaran jersi baharu pasukan itu di Ipoh, hari ini.

Ditanya tentang sasaran musim ini, beliau akui pihaknya meletakkan sasaran tinggi buat Teong Kim dan anak buahnya.

Selepas mengalami musim sukar pada tahun lalu ekoran isu hutang dan penggantungan dari Fifa, skuad The Bos Gaurus yang kini dimiliki syarikat telekomunikasi terkemuka, XOX bakal tampil antara pencabar baharu Liga Super musim ini.

Malah, sentuhan Teong Kim yang pernah melahirkan bintang bola sepak Jerman seperti Thomas Muller amat dinantikan penyokong Perak yang merindui zaman kegemilangan pasukan pada awal 2000 lalu di bawah kendalian mendiang Karl Helmi Karl-Heinz Weigang dan Toni Netto.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 6:22 PM
HADI Fayyadh (dua kanan) di sidang media bersama Bobie Farid (dua kiri). Turut hadir,  Teong Kim (kiri) dan pemain tengah Perak FC, Wan Zack Haikal (kanan). FOTO L Manimaran
HADI Fayyadh (dua kanan) di sidang media bersama Bobie Farid (dua kiri). Turut hadir, Teong Kim (kiri) dan pemain tengah Perak FC, Wan Zack Haikal (kanan). FOTO L Manimaran