HAFIZAL Mohamad berhijrah bersama Perak FC musim depan. FOTO TFC
HAFIZAL Mohamad berhijrah bersama Perak FC musim depan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Keinginan untuk berguru dengan jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim membuatkan pertahanan kanan Terengganu FC (TFC), Muhamad Hafizal Mohamad memilih Perak FC sebagai destinasinya dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selain itu, bekas pemain Harimau Muda itu mendedahkan keinginan untuk menimba pengalaman baharu selepas sepuluh musim bersama skuad TFC dan Terengganu FC II (TFC II) membuatkan dia nekad untuk berhijrah dengan pasukan baharu.

Justeru pemain berusia 29 tahun itu yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan pada musim ini meletakkan harapan yang tinggi agar kehadirannya bersama skuad kendalian Teong Kim menghadirkan sinar baharu buatnya.

Berdasarkan rekod, Teong Kim mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan B-19 Bayern Munich dengan pernah melatih pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC serta mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano selain pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016.

"Sejujurnya saya masih sayangkan pasukan TFC yang banyak memberikan peluang kepada saya beraksi sebelum ini, malah musim depan pun saya masih mendapat tawaran lanjutan kontrak daripada Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

"Tapi keinginan untuk mencari pengalaman baharu kerana sudah begitu lama beraksi bersama pasukan TFC dan TFC II selain mahu belajar sesuatu dengan Teong Kim yang pernah membimbing kelab di Jerman membuatkan saya nekad untuk berhijrah bersama pasukan Perak FC pada musim depan.

"Saya akui keputusan untuk meninggalkan bumi kelahiran ini terlalu berat lebih-lebih lagi khidmat saya masih diperlukan TFC, namun demi karier kerana saya mahu menambah minit perlawanan, lagipun usia semakin meningkat saya memutuskan untuk 'angkat kaki'.

"Insya-Allah jika masih mendapat tawaran lagi pada tahun akan datang bersama TFC, saya akan memikirkannya dan sedia kembali menabur bakti di bumi kelahiran, doakan saya berjaya," kata Hafizal ketika dihubungi.

Kontrak pemain berketinggian 1.76 meter itu bersama pasukan The Bos Gaurus adalah selama setahun mulai 1 Disember 2022 hingga 30 November 2023 dengan pilihan setahun lagi jika khidmatnya masih diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 3:59 PM