JAMES tak dapat menahan kesedihan selepas mengalami kecederaan lutut. -FOTO Reuters
JAMES tak dapat menahan kesedihan selepas mengalami kecederaan lutut. -FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Chelsea, Graham Potter memuji aksi The Blues yang bangkit daripada prestasi buruk sebelum Piala Dunia untuk menewaskan Bournemouth 2-0 seterusnya menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Perdana.

Kai Havertz dan Mason Mount menjaringkan gol dalam tempoh 24 minit untuk membawa Chelsea kembali memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kemenangan itu membawa Chelsea melonjak ke tanggal kelapan ketinggalan enam mata dari empat tempat teratas.

"Anda perlu menggunakan rehat sebaik mungkin," kata Potter.

"Menilai dan mengubah semula serta mendapatkan kembali pemain yang cedera. Kami menggunakannya sebaik mungkin walaupun pemain kembali pada masa berbeza."

Bagaimanapun kemenangan itu disusuli dengan kehilangan pemain pertahanan Reece James yang mengalami kecederaan lutut yang turut menghalangnya beraksi di kempen Piala Dunia bersama England.

James melepasi separuh masa pertama tetapi meminta untuk diganti pada babak kedua dan kelihatan kecewa sambil menunjuk lututnya sebelum terbaring di padang.

"Anda boleh lihat kualitinya. Ia satu tamparan buat kami. Saya tidak pasti mengenai keadaan kecederaan itu. Masih terlalu awal untuk mengatakannya."

Potter yang menyasarkan untuk mengelak daripada kekalahan keempat berturut-turut dalam liga buat kali pertama sejak 1998, berpuas hati dengan penampilan sulung Denis Zakaria di Liga Perdana.

Pemain tengah Switzerland itu beraksi dengan baik di hadapan untuk memacu Chelsea di atas padang pada separuh masa pertama.

Manakala gandingan penyerang Raheem Sterling dan Christian Pulisic membuatkan pertahanan Bournemouth kucar-kacir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 8:28 AM