GAWANG Chelsea dibolosi menerusi tandukan Webster.
GAWANG Chelsea dibolosi menerusi tandukan Webster.
AFP

Brighton, United Kingdom: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menyalahkan faktor keletihan punca kemerosotan pasukannya ketika seri 1-1 di Brighton awal pagi tadi.

Juara Eropah itu hanya menang sekali daripada tujuh aksi terakhir Liga Perdana dan secara realistiknya boleh melupakan gelaran liga dan menumpukan kelompok empat teratas.

Buat kali kedua menentang Seagulls dalam tempoh 20 hari, Chelsea gagal pertahankan kelebihan. Pelawat mendahului perlawanan menerusi rembatan Hakim Ziyech di luar kotak penalti pada babak pertama namun Adam Webster menyamakan kedudukan pada babak kedua. '

"Anda boleh lihat kami letih mental dan fizikal," kata Tuchel selepas skuadnya beraksi 15 perlawanan sejak awal Disember.

"Kami tahu mereka bersiap sedia, mereka mempunyai lebih banyak masa dan kurang perlawanan untuk menentang kami."

Chelsea menerima kunjungan Tottenham Ahad ini dalam aksi terakhir liga sebelum rehat antarabangsa dan komitmen dengan Piala Kelab Dunia pada Februari.

Tuchel berharap tempoh rehat itu membolehkan skuadnya kembali lebih kuat berdepan fasa terakhir kempen.

"Pemain saya perlukan rehat panjang, tiada penyelesaian lain," katanya.

"Situasi ketika ini amat sukar buat pemain kami kerana saya tahu apa yang berlaku."

Brighton pula hanya menang dua kali dalam 16 aksi terakhir liga tetapi sekali lagi kurang menyengat dalam kotak penalti.

"Saya bangga dengan prestasi kami. Hanya ketumpulan tindakan penyudah menghampakan kami tetapi yang lain cukup bagus," kata jurulatih Brighton, Graham Potter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 7:17 AM