DE La Fuente dilantik menjadi jurulatih baharu Sepanyol. FOTO EPA
DE La Fuente dilantik menjadi jurulatih baharu Sepanyol. FOTO EPA
AFP

Madrid: Jurulatih baharu Sepanyol, Luis de la Fuente mempertahankan pelantikannya selepas dikritik beliau kurang berpengalaman di peringkat tertinggi.

Jurulatih berusia 61 tahun itu yang dilantik sehingga selepas Euro 2024, pernah melatih pasukan remaja Sepanyol sejak 2013 dan sebelum ini skuad Bawah 23 tahun negara berkenaan

De la Fuente menggantikan Luis Enrique selepas bekas jurulatih Barcelona itu dipecat berikutan kekalahan mengejut Sepanyol pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia kepada Maghribi.

"Saya adalah pemain profesional selama 15 tahun," kata De la Fuente pada sidang akhbar.

"Saya memenangi kejuaraan, saya adalah pemain antarabangsa (di peringkat remaja) selain bersama pasukan kebangsaan.

"Saya (melatih) 16 pemain yang berada dalam skuad Sepanyol di Piala Dunia.

"Jika ada individu di Sepanyol yang tahu mengenai masa kini dan masa akan datang bola sepak Sepanyol, orang itu adalah saya," katanya.

De la Fuente adalah bek kiri untuk Athletic Bilbao pada era 1980-an dan 90-an, memenangi dua gelaran La Liga dan Copa del Rey bersama pasukan Basque.

Dia juga bermain untuk Sevilla dan Alaves sebelum memulakan kerjaya kejurulatihannya.

Jurulatih baharu Sepanyol itu memperoleh perak bersama pasukan kebangsaan pada Sukan Olimpik 2020, tewas dalam masa tambahan kepada Brazil dalam perlawanan penentuan pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 11:25 PM