LUIS de la Fuente. FOTO Agensi
LUIS de la Fuente. FOTO Agensi
AFP

Enschede: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berdepan detik penting pada awal tugasnya selaku pengendali pasukan itu yang akan menentang Itali di separuh akhir Liga Negara-Negara awal pada Jumaat ini di Enschede.

Pengendali berusia 61 tahun itu dilantik secara mengejut pada Disember lalu menggantikan Luis Enrique selepas Sepanyol tersingkir daripada Piala Dunia apabila tewas kepada Maghribi pada pusingan 16 terakhir.

Kemenangan kurang meyakinkan ke atas Norway tanpa penyerang Erling Haaland, walaupun dengan jaringan 3-0 dan kekalahan 0-2 di Scotland dalam dua perlawanan pertama di bawah bimbingannya pada Mac lalu mengundang kritikan hebat di Sepanyol.

Beberapa laporan berasakan masa depannya mungkin samar jika Sepanyol gagal melepasi peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara di Belanda.

De la Fuente mahu Sepanyol bermain dengan corak permainan hampir sama ketika di bawah bimbingan Luis Enrique.

Walaupun penyokong dan media dilihat kurang yakin dengan kemampuan De la Fuente, barisan pemainnya tetap mempertahankan jurulatih itu.

"Jurulatih bekerja dengan sangat baik, dengan semangat dan harapan yang tinggi. Itulah perkara paling penting.

"Saya gemarkan suasana kerja dan hubungan baik dalam pasukan, ia sangat mengujakan. Dia bersama kami setiap saat dan sering membantu kami," kata pemain pertahanan, Jesus Navas.

Penjaga gol, Unai Simon turut menyokong De la Fuente, yang melatihnya ketika peringkat remaja.

"Dia seorang jurulatih yang sangat baik, seorang motivator dan pengurus yang sangat baik," kata pemain Athletic Bilbao itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 10:00 AM