GAYA Ramos seperti memegang senjata meraikan kejayaannya menjaringkan gol. FOTO EPA
GAYA Ramos seperti memegang senjata meraikan kejayaannya menjaringkan gol. FOTO EPA
AFP

Doha: Penyerang Portugal Goncalo Ramos, 21, memasuki satu fasa permainan mencabar pada usianya yang muda namun berjaya meneraju pasukannya melangkah ke suku akhir Piala Dunia.

Pada penampilan pertamanya di Piala Dunia yang mengejutkan selepas diberi kepercayaan mengambil alih tempat Cristiano Ronaldo, penyerang Benfica itu menjaringkan hatrik ketika mereka membelasah Switzerland 6-1 untuk menempah pertemuan menentang Maghribi awal pagi Ahad.

Di kenali sebagai "Pistoleiro" kerana gayanya seperti membawa senjata, Ramos menyerlah dengan aksi memukau dalam bola sepak dunia selepas penampilan sulung bersama Portugal pada perlawanan persahabatan menentang Nigeria.

Penyerang Benfica itu menjaringkan gol serta membantu sebagai pemain gantian ketika Portugal menang 4-0 dan mungkin kerana impak itu dia menjadi pilihan sebagai pengganti Ronaldo Selasa lalu yang menyaksikan mereka sekali lagi menang besar.

"Walaupun dalam mimpi saya tidak membayangkan dapat menjaringkan tiga gol pada penampilan pertama di pusingan kalah mati di Piala Dunia," kata Ramos yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Ini adalah kali pertama dalam tempoh 16 tahun Ronaldo menjadi pemain gantian di Piala Dunia dan Ahad ini ia mungkin akan berlaku sekali lagi dengan Ramos dijangka menjadi pilihan pertama di turunkan pada suku akhir menentang Maghribi.

Portugal bermain lebih lancar di bahagian serangan dengan Ramos mengetuai barisan serangan yang menjadi pencetus untuk penyerang tengah di belakangnya.

"Ia kelihatan sukar bagi saya, sememangnya susah untuk mengetepikan pemain yang menyerlah ketika menentang Switzerland untuk perlawanan seterusnya," kata bekas penyerang Portugal, Rui Aguas.

"Ia tidak mustahil tapi nampaknya sukar untuk itu berlaku."

Ronaldo menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol namun Ramos tidak gentar apabila diminta untuk menggantikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 8:10 AM