PEMAIN Maghribi meraikan kemenangan ke atas Sepanyol, sekali gus layak ke suku akhir Piala Dunia. FOTO AFP
PEMAIN Maghribi meraikan kemenangan ke atas Sepanyol, sekali gus layak ke suku akhir Piala Dunia. FOTO AFP
Reuters

Doha: Selepas mencipta kejutan terbaharu di Piala Dunia, Maghribi yang semakin yakin selepas menyingkirkan Sepanyol berhasrat meneruskan kisah dongeng apabila menentang Portugal di suku akhir, Sabtu ini.

36 tahun lalu, Maghribi mencipta sejarah muncul pasukan Afrika pertama layak ke pusingan 16 terakhir di Piala Dunia di Mexico pada 1986.

Mereka kini berpeluang muncul negara Afrika dan dunia Arab pertama layak ke separuh akhir di depan penyokong fanatik yang mendapat sokongan padu daripada seluruh benua itu.

Maghribi sekali lagi akan turun sebagai underdog, tetapi menggunakan status itu untuk menjuarai Kumpulan F yang sukar mengatasi naib juara 2018, Croatia dan Belgium yang menduduki ranking kedua dunia.

Kejayaan mereka di Qatar dibina berteraskan keampuhan benteng dan serangan balas yang sukar dijangka dan strategi itu menjerat juara dunia 2010, Sepanyol, di pusingan kalah mati.

Maghribi enggan terpedaya dengan kemampuan lawan mereka melengkapkan 1,019 hantaran dan menghalang lawan mereka menjaringkan gol dalam permainan selama dua jam apabila seri 0-0, sebelum mara ke suku akhir apabila menang penentuan sepakan penalti 3-0.

Bagaimanapun, Portugal yang turun tanpa Cristiano Ronaldo mempamerkan ketajaman penyudah apabila membelasah Switzerland 6-1 selepas aksi peringkat kumpulan yang tidak konsisten.

Meletakkan Ronaldo di bangku simpanan tidak mengalihkan tumpuan terhadap penyerang veteran itu, tetapi Portugal menunjukkan mereka mampu beraksi dengan berkesan tanpanya dan ketiadaannya membuatkan pergerakan pasukan lebih lancar serta bebas.

Pengganti Ronaldo pada malam itu, Goncalo Ramos, 21, menjaringkan hatrik pertama di kejohanan kali ini dan dijangka mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama untuk merobek benteng kental Maghribi.

"Saya akan gunakan apa yang diyakini sebagai strategi tepat sama seperti dilakukan dalam seluruh hidup saya," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Jentera depan Portugal sukar dijangka pada perlawanan Selasa lalu apabila Joao Felix dan Bruno Fernandes bermain jauh lebih bebas berbanding biasa dan memudahkan pergerakan Ramos untuk memperdayakan benteng Switzerland.

Pada ketika Portugal mahu mencipta sejarah layak ke final kali pertama - mereka tewas di tangan Perancis di separuh akhir 2006 - Maghribi akan menjadi ujian hebat kepada pembaharuan dan keberanian Santos meletakkan Ronaldo di bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 9:37 PM