REGRAGUI dijulang pemainnya selepas menewaskan Sepanyol.
REGRAGUI dijulang pemainnya selepas menewaskan Sepanyol.
AFP

Doha: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata, dia merancang strategi dengan membiarkan Sepanyol menguasai bola selepas skuadnya menang dramatik menerusi penentuan penalti pada saingan 16 terakhir, semalam.

Kemenangan melayakkan skuad Afrika itu ke suku akhir kali pertama dalam sejarah mereka mengatasi pencapaian pada 1986 apabila mara ke peringkat 16 terakhir.

Maghribi menang penalti 3-0 selepas seri 0-0 dalam masa tambahan di Stadium Education City di Qatar.

Sepanyol mendominasi perlawanan tetapi pertahanan Maghribi kebal bertahan dan menghadkan peluang terbuka pasukan lawan.

"Kami bersetuju tidak kuasai bola, bukan kerana takut," kata Regragui. "Kami enggan bercakap besar kerana kami bukan Perancis, Jerman atau England untuk bersaing dengan mereka dari segi penguasaan bola.

"Tiada siapa mampu merampas bola daripada mereka, jadi kami setuju mengenainya. Saya bukan ahli silap mata."

Regragui berkata pasukannya berlatih empat hari dengan pelan perlawanan bagi mengekang trio tengah Sepanyol yang dibarisi Sergio Busquets, Pedri dan Gavi.

"Selepas menyekat mereka sepanjang 120 minit, kami tahu kami ada peluang, dua, tiga atau empat," katanya.

"Kami tak tahu cara menghukum mereka. Strategi kami berjaya, kami dapat penalti dan ia seperti loteri. Tetapi apabila anda ada penjaga gol hebat, anda tahu peluang menang lebih cerah."

Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou menyelamatkan penalti Carlos Soler dan Sergio Busquets manakala tendangan Pablo Sarabia terkena tiang dan Sepanyol gagal menyempurnakan ketiga-tiga penalti mereka.

Achraf Hakimi yang dilahirkan di Madrid menjaringkan penalti kemenangan untuk Maghribi dan meneruskan kisah dongeng mereka di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 11:30 AM