REGRAGUI tekad julang Maghribi di Piala Negara-Negara Afrika. FOTO Reuters
REGRAGUI tekad julang Maghribi di Piala Negara-Negara Afrika. FOTO Reuters
AFP

Rabat: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata beliau mahu pasukannya mematahkan 'Sumpahan Piala Negara-Negara Afrika' ketika mengumumkan skuad 27 pemainnya untuk kejohanan itu bulan depan.

Sudah 47 tahun sejak Maghribi kali terakhir menjuarai pertandingan benua itu tetapi selepas mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu, mereka kini menjadi antara pilihan untuk memenangi kejuaraan di Ivory Coast itu.

"Semakin banyak pertandingan Piala Negara-Negara Afrika berlangsung, semakin jauh kita daripada tarikh ketika memenanginya," kata Regragui.

"Tetapi itu bukan sebab untuk memberi tekanan kepada diri sendiri. Kami akan pergi ke sana untuk bermain bola sepak, untuk memberikan yang maksimum.

Sejak memenangi piala itu pada 1976, Maghribi hanya mara ke final sekali, pada 2004 apabila tewas kepada tuan rumah, Tunisia.

Pada edisi terakhir di Cameroon 2022, mereka tewas kepada Mesir di suku akhir.

"Apa yang penting ialah keadaan fikiran," kata Regragui.

"Kami mesti pergi ke sana dengan penuh keyakinan untuk mengatasi sumpahan Piala Negara-Negara Afrika."

Regragui mengekalkan sebahagian besar skuad Piala Dunianya, yang menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal sebelum tewas 0-2 kepada Perancis pada separuh akhir, termasuk pertahanan Paris Saint-Germain Achraf Hakimi, Youssef En-Nesyri dari Sevilla dan pemain tengah, Manchester United Sofian Amrabat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 8:45 AM