HOWE pengurus Newcastle United.
HOWE pengurus Newcastle United.
AFP

London: Pengurus Newcastle, Eddie Howe menafikan laporan yang menyatakan Cristiano Ronaldo mempunyai klausa dalam kontrak dengan Al Nassr yang membolehkan pemain Portugal itu menyertai Magpies jika kelab Liga Perdana Inggeris (EPL)terbabit mara ke Liga Juara-Juara.

Ronaldo diperkenalkan oleh Al Nassr semalam selepas bersetuju dengan kontrak dianggarkan bernilai 200 juta euro (RMRM929 juta) yang mengikat bekas pemain Manchester United itu dengan kelab Arab Saudi sehingga Jun 2025.

Penyerang berusia 37 tahun itu meninggalkan United dengan persetujuan bersama susulan wawancara kontroversi yang mengkritik pengurus Erik ten Hag dan hierarki kelab.

Ronaldo dalam sidang media pertamanya sejak menyertai Al Nassr berkata 'tugasnya di Eropah sudah selesai.'

Tetapi laporan di Sepanyol minggu ini mendakwa pemenang lima kali Ballon d'Or sudah mula memikirkan untuk kembali ke EPL.

Laporan itu berkata Ronaldo memasukkkan klausa dalam kontraknya dengan Al Nassr bagi membolehkan dia menyertai Newcastle yang 80 peratus dimiliki Saudi Public Investment Fund secara pinjaman jika mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

Namun Howe menafikan laporan itu dan menyifatkan perpindahan bekas bintang Real Madrid dan Juventus ke Newcastle pada masa depan sukar direalisasikan.

"Kami berharap yang terbaik buat Cristiano pada masa depan tetapi pada pandangan kami berita itu tidak benar," kata Howe kepada Sky Sports.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 10:33 AM