RONALDO dinamakan sebagai kapten skuad Riyadh ST XI bagi perlawanan pertunjukan menentang Lionel Messi dan PSG, Khamis ini. FOTO Reuters
RONALDO dinamakan sebagai kapten skuad Riyadh ST XI bagi perlawanan pertunjukan menentang Lionel Messi dan PSG, Khamis ini. FOTO Reuters
Reuters

Riyadh: Cristiano Ronaldo akan membuat penampilan sulung di Arab Saudi sejak menyertai Al Nassr apabila dinamakan sebagai kapten skuad Riyadh ST XI bagi perlawanan pertunjukan menentang Lionel Messi dan Paris St Germain (PSG), Khamis ini.

Pegawai kelab itu memaklumkan, bintang Portugal berusia 37 tahun itu akan mengetuai pasukan dibarisi pemain kelab Al Hilal dan Al Nassr menentang Messi dan PSG, yang menjadi babak terbaru persengketaan bintang bola sepak dunia itu.

Barisan pemain termasuk pemain antarabangsa Arab Saudi, Salem Al-Dawsari, yang menjaringkan gol ketika kemenangan mengejut ke atas Argentina di peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar, tahun lalu, selain Abdulhamid.

Perlawanan bakal diadakan di Riyadh itu menjadi tarikan hebat dan dilaporkan permintaan terhadap tiket atas talian melebihi 2 juta.

Harga lelongan tiket VIP 'Beyond Imagination' kini lebih AS$2.66 juta (RM11.48 juta) dan bidaan dijangka berakhir pada hari ini.

Ronaldo terlepas dua perlawanan awal aksi domestik bersama Al Nassr kerana digantung oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris atas kesalahan menjatuhkan telefon bimbit dari tangan seorang penyokong, April lalu.

Bintang Portugal itu tiba di Arab Saudi pada awal bulan ini dengan perjanjian sehingga 2025 dianggarkan bernilai lebih AS$216.34 juta (RM933.72 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 8:16 AM