FODEN (kanan) ketika sesi latihan England semalam.
FODEN (kanan) ketika sesi latihan England semalam.
AFP

Al-Rayyan, Qatar: Keengganan Gareth Southgate menggunakan Phil Foden ketika England seri 0-0 dengan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan tekanan ke atas pengendali Three Lions itu menjelang aksi penting menentang Wales awal pagi Rabu ini.

Ketika England sukar menembusi benteng AS di Stadium Al Bayt, kelmarin, Southgate menurunkan Jack Grealish dan Marcus Rashford sebagai penyerang depan.

Untuk kali kedua berturut-turut perancang Manchester City, Foden hanya memanaskan bangku simpanan selepas menerima nasib sama ketika England membelasah Iran 6-2.

Foden tidak menjadi pilihan Southgate yang lebih gemar menurunkan Mason Mount di belakang penyerang Harry Kane, dengan Bukayo Saka di sebelah kanan dan Raheem Sterling di sebelah kiri.

Rasa tidak puas dengan tindakan Southgate bukan sahaja dalam kalangan penyokong malah turut menjadi perhatian pengulas dan pemerhati bola sepak negara itu.

"Bagi Phil Foden yang tidak beraksi memang memalukan berdasarkan bakatnya. Dia antara pemain terbaik," kata bekas pertahanan England, Gary Neville.

Penjaring terbanyak England, Wayne Rooney turut bersetuju dengan Neville yang berpendapat Foden sepatutnya membarisi barisan utama.

"Saya pelik mengapa Foden tidak dimasukkan ketika menentang AS. Dia sepatutnya dalam kesebelasan jika saya jurulatih England," kata Rooney.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 9:55 PM