MARTINEZ mengawal bola daripada dirampas pemain Arab Saudi.
MARTINEZ mengawal bola daripada dirampas pemain Arab Saudi.
Agensi

Doha: Lisandro Martinez dijangka tampil memperkuatkan barisan kesebelasan utama Argentina dalam misi hidup mati menentang Mexico pada aksi Kumpulan C di Piala Dunia, awal pagi Ahad ini.

Gergasi Amerika Selatan itu yang masih terkejut dengan kekalahan kepada Arab Saudi bakal berdepan Mexico dan Lionel Scaloni dijangka membawa masuk pemain Manchester United berharga £56.7juta (RM306 juta) itu untuk memperkuatkan barisan pertahanannya.

Martinez menggantikan pemain Tottenham, Christian Romero selepas Arab Saudi menembusi gawang Argentina dua kali dalam tempoh lima minit di Stadium Lusail, Selasa lalu dan Scaloni turut dijangka melakukan rombakan pada aksi wajib menang menentang Mexico.

Timbul persoalan di Argentina dan mencetuskan kegelisahan dalam penyokong mereka mengapa Martinez tidak tersenarai dalam skuad utama walaupun tampil cemerlang di Old Trafford.

Dia dijangka bergandingan dengan pertahanan Manchester City, Nicolas Otamendi di bahagian pertahanan tengah.

Penyerang City berusia 22 tahun, Julian Alvarez turut tidak mengecewakan selepas masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Arab Saudi.

Alvarez menjaringkan tujuh gol untuk juara Liga Perdana Inggersi (EPL) itu sejak tiba dari Rivar Plate dengan harga £21 juta (RM113 juta).

Pemain Brighton, Alexis Mac Allister seorang lagi bintang EPL yang menyerlah ketika sesi latihan namun tidak beraksi manakala bintang serba boleh, Alejandro Papu Gomez menggesa penyokong kekal teguh di belakang pasukan.

Dalam media sosialnya, Gomez berkata: "Jalan yang sukar membawa ke destinasi yang indah."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 2:20 PM