PENJAGA gol Argentina, Damian Martinez menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang UAE.   FOTO AFP
PENJAGA gol Argentina, Damian Martinez menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang UAE. FOTO AFP
Reuters

Doha: Skuad Argentina mungkin berubah dalam tempoh kurang seminggu sebelum aksi pembukaan Piala Dunia apabila beberapa pemain belum cergas sepenuhnya, menurut jurulatih Lionel Scaloni selepas tamat aksi persahabatan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), 5-0 awal pagi tadi.

Pertahanan Cristian Romero dan penyerang Nicolas Gonzalez, Alejandro Gomez serta Paulo Dybala tidak menyertai sesi latihan terakhir di Abu Dhabi dengan keempat-empatnya dalam proses pemulihan selepas mengalami 'ketidakselesaan', menurut jurulatih itu.

"Kami berdepan beberapa masalah, kami ada beberapa hari lagi untuk membuat keputusan senarai pemain. Mungkin ada perubahan, harap tidak tetapi ada kemungkinan," kata Scaloni kepada wartawan.

"Saya tidak kata mereka akan digugurkan. Ada pemain tidak sihat, tidak boleh sertai pasukan hari ini kerana mereka tidak cergas untuk bermain atau perlu menanggung risiko lebih serius.

"Kami perlu berhati-hati kerana ada sebab mereka disisihkan."

Peraturan Fifa membenarkan pasukan di Piala Dunia boleh menggantikan pemain mengalami kecederaan atau tidak sihat dalam tempoh sehingga 24 jam sebelum aksi pembukaan.

Dalam aksi di Stadium Mohammed bin Zayed awal pagi tadi, Lionel Messi menjaringkan gol antarabangsanya ke-91 bagi membantu Argentina melebarkan rekod tanpa kalah kepada 36 perlawanan.

Gergasi Amerika Selatan itu bakal menyamai rekod dunia milik Itali yang tidak tewas 37 perlawanan jika mereka tidak tewas kepada Arab Saudi dalam aksi pembukaan di Doha pada Selasa depan sebelum menentang Mexico dan Poland dalam Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 7:25 AM