FEROZ giat menjalani latihan menjelang pertembungan menentang KL City FC pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini. Foto ihsan Johor Southern Tigers
FEROZ giat menjalani latihan menjelang pertembungan menentang KL City FC pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini. Foto ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Feroz Baharudin bertekad memberi persembahan terbaik bagi memastikan benteng pasukan itu tidak bolos apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hujung minggu ini.

Pemain kelahiran Kota Tinggi, Johor itu berkata, seandainya terpilih dalam kesebelasan utama ianya merupakan pentas final pertama buat dirinya dan akan memberi yang terbaik sekali gus mahu mempertahankan kejuaranan piala berkenaan yang dimenangi bersama pasukan pada musim lalu itu.

"Ketika JDT menjuarai Piala FA musim lalu, saya masih beraksi bersama JDT II dan pasukan itu juga melakar kejutan apabila muncul juara Liga Perdana buat kali pertama.

"Aksi ketika menang ke atas Negeri Sembilan FC, baru-baru ini memberi saya lebih keyakinan bagi membuat persiapan menjelang final Piala FA nanti dan untuk diri saya sekarang ini amat bersyukur selepas pulih daripada kecederaan, tampak lebih konsisten beraksi.

"Malah jaringan gol ketika menentang Negeri Sembilan secara perlahan-lahan mampu meningkat lagi keyakinan dan berharap akan terus konsisten sepanjang latihan bagi persiapan menjelang final nanti.

"Mengenai pasukan lawan yang memiliki barisan pemain seperti Paulo Josue, Romel Morales, Tchetche Kipre dan banyak lagi, saya enggan memikirkan kehebatan mereka, sebaliknya kami di JDT lebih memberi fokus terhadap persiapan kami sendiri kerana ia lebih mustahak," katanya.

Feroz yang berusia 23 tahun menyifatkan aksi pentas final berbeza dengan saingan Liga Super dan harus lebih bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi mengharungi 90 minit perlawanan.

Tambahnya, walaupun sudah berdepan skuad The City Boys sebanyak dua kali dalam saingan liga dan berpihak JDT menerusi kemenangan 3-0 pada pusingan pertama dan 6-1 di pusingan kedua, tapi dalam aksi final `aura' perlawanan berbeza.

"Sudah tentu ia bakal menjelmakan perlawanan yang menarik dan jika terpilih dalam kesebelasan utama nanti, pastinya mahu beraksi lebih mantap malah aksi yang konsisten juga penting dan cuba mengelak melakukan kesilapan dalam perlawanan itu," ujar Feroz.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 11:19 AM