Benzema (tiga dari kiri) menjalani latihan bersama kem Real Madrid. -FOTO AFP
Benzema (tiga dari kiri) menjalani latihan bersama kem Real Madrid. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti menegaskan bahawa penyerang Perancis, Karim Benzema kembali ke La Liga daripada mimpi ngeri Piala Dunianya dengan penuh 'bermotivasi dan bersemangat'.

Pemenang Ballon d'Or, Benzema dipilih dalam skuad Perancis untuk Piala Dunia di Qatar namun mengalami kecederaan paha semasa latihannya menyebabkan dia terpaksa menarik diri sebelum perlawanan pembukaan.

Dia kemudiannya mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa selepas kejohanan yang menyaksikan Perancis menjadi naib juara selepas tewas kepada Argentina.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa mengenai keputusan yang dibuat Perancis. Mereka berkata dia tidak boleh bermain di Piala Dunia.

"Kami melihat seorang lelaki datang dengan penuh motivasi dan bersemangat," kata Ancelotti mengenai pemain yang beraksi lebih 600 perlawanan sepanjang 12 musim di ibu kota Sepanyol itu.

"Dia akan menjadi watak penting pada bahagian kedua musim ini."

Benzema begitu terdesak untuk beraksi di Piala DUia tahun ini kerana tidak dipilih ketika Perancis muncul juara Piala Dunia di Rusia empat tahun lalu.

Dia tidak beraksi bersama pasukan Peranics selama lima setengah tahun kerana pembabitannya dalam skandal pemerasan ugut berhubung pita seks yang membabitkan bekas rakan pasukannya Mathieu Valbuena.

Dalam perbicaraan berhubung hubungan sulit itu tahun lalu dia dijatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan setahun dan denda €75,000 (RM352,857)

Benzema menjaringkan 37 gol sepanjang 97 penampilan bersama Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 11:27 AM